mutakhir

Latiff lulus

Oleh Helmy Abd Rahman dan Malik Muhamad

Marang: “Kami tidak mahu cakap banyak, kami masyarakat Cina di Wakaf Tapai akan balas jasa YB (A Latiff Awang) selama lima tahun menjadi wakil rakyat, kami sangat puas hati perkhidmatan diberikan oleh beliau selama ini, kami pasti akan undi calon Barisan Nasional (BN),” kata Ng Soo Che, 54, wakil masyarakat Cina di Wakaf Tapai.

Beliau yang juga Pengerusi MCA Bahagian Marang berkata, masyarakat Cina di kawasan berkenaan bukan mahu mengampu calon BN itu pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) ini tapi perkhidmatan diberikan A Latiff kepada mereka sangat besar.

“Kami bukan mahu bodek (mengampu), tapi terus terang masyarakat Cina mahu lihat apa yang YB buat kepada kami sepanjang jadi wakil rakyat, mereka tidak mahu dekat PRU baru dia buat ceramah atau buat itu atau buat ini, mereka tidak akan percaya, mereka kata bohong, tapi apa yang dia sudah buktikan mereka sangat gembira, mereka akan balas apa yang dia buat itu dengan menyokong BN.

“Sepanjang Cikgu Latiff berkhidmat sebagai wakil rakyat beliau meluluskan pembinaan bangunan tiga tingkat di sekolah dan untuk masyarakat Cina beliau membina jalan, membaik pulih rumah dan memberi sumbangan kerusi roda, pendek kata Cikgu Latiff adalah wakil rakyat yang prihatin.

“Bagi kami rugi jika tidak menyokong beliau sebagai wakil rakyat di DUN (Dewan Undangan Negeri) Pengkalan Berangan,” katanya ketika ditemui di Wakaf Tapai, semalam.

Seramai 1,118 pengundi Cina di Wakaf Tapai bakal mengundi di Sekolah Kebangsaan Wakaf Tapai.

Pada PRU13, calon BN memperoleh 58 peratus jumlah undi di Pusat Daerah Mengundi Pekan Wakaf Tapai.

Sementara itu, seorang penduduk Cina di Wakaf Tapai, Liaw Yoke Chee, 40, berkata sepanjang lima tahun Cikgu Latiff berkhidmat sebagai wakil rakyat beliau banyak membantu penduduk kampung terutama berkaitan pendidikan.

“Cikgu Latiff banyak menolong kami dan yang paling saya tidak boleh lupakan beliau banyak membantu anak-anak murid kami di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa Wakaf Tapai, beliau mudah berurusan dan yang paling kami berterima kasih Cikgu Latiff mengambil berat berkaitan pendidikan murid di sini.

“Justeru, saya harap Cikgu Latiff dapat terus bantu murid di sekolah ini dalam meneruskan kecemerlangan kerana saya sendiri dulu belajar di sekolah,” kata kerani akaun di sebuah syarikat swasta di Wakaf Tapai itu.

Disiarkan pada: May 6, 2018 @ 3:28am
d