mutakhir

Berbasikal 'tawan' Manjung

Oleh Hamizah Badiran

Edisi ke-11 Janamanjung Fellowship Ride 2018 (JMFR) yang diadakan baru-baru ini berlangsung meriah apabila menarik penyertaan 1,300 peserta dalam dan luar negara termasuk Indonesia, Singapura, Jepun dan Eropah.

Kayuhan anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama anak syarikat milik penuhnya, TNB Janamanjung Sdn Bhd itu juga tersenarai dalam kalendar aktiviti melawat negeri Perak merangkumi laluan di lokasi menarik sekitar daerah Manjung yang mempunyai keunikan, keindahan alam dan sejarah tersendiri.

Antara laluan yang ditempuh sejauh 147 kilometer itu ialah melewati Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Manjung, kawasan sekitar Seri Manjung, Pasir Salak dan Ayer Tawar.

Pelepasan peserta disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di Taman Awam Teluk Batik, Lumut, Perak, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman, Naib Presiden (Penjanaan) TNB, Datuk Zainudin Ibrahim dan Pengarah Urusan TNB Janamanjung, Datuk Shamsul Ahmad.

Penganjuran program berkenaan sebahagian daripada galakan aktiviti riadah bagi mengamalkan gaya hidup sihat dan merapatkan hubungan dalam kalangan masyarakat.

Zambry berkata, jelajah berbasikal itu secara tidak langsung mempromosikan industri pelancongan di negeri Perak khususnya daerah Lumut dan Manjung.

“Kerajaan negeri berbangga dan berbesar hati dengan penganjuran JMFR yang dapat menarik pengunjung dalam dan luar negara ke daerah Manjung.

“Dengan adanya program seperti ini, ia dapat merancakkan lagi keadaan dan kedudukan Lumut khususnya dan Manjung amnya sebagai destinasi pelancongan yang berasaskan kepada sukan serta alam semula jadi.

“Untuk pengetahuan semua, Perak buat lima tahun berturut-turut mempunyai bilangan kehadiran pelancong dalam negara yang tertinggi di Malaysia dan program sebegini menyemarakkan lagi pelancong dari luar Perak mengunjungi serta bermalam di sini,” katanya.

Sementara itu Roslan berkata, JMFR bermula pada 2008 dan pada permulaan, penyertaan yang diterima ketika itu hanya membabitkan ratusan peserta saja.

“Namun, bilangan itu semakin meningkat tahun demi tahun dan penyertaan yang diterima kini berskala besar hingga lebih 1,000 peserta manakala berjaya menarik kira-kira 3,000 pengunjung secara keseluruhannya ke acara ini.

“Ini membuktikan JMFR semakin dikenali tidak saja di negara kita, malah daripada peserta asing sebagai satu daripada acara wajib bagi penggemar sukan berbasikal.

“JMFR juga dapat mempromosikan stesen janakuasa mesra alam, Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah di Manjung,” katanya.

Kehadiran peserta berskala besar juga memberi kesan positif kepada ekonomi setempat, sekali gus mempromosikan Perak yang kaya dengan pelbagai budaya, makanan, hasil kraftangan menarik dan sebagainya.

Sempena JMFR ini juga, lebih 60 gerai pameran disediakan untuk pengunjung seperti gerai promosi Aplikasi MyTNB dan jelajah pasukan hoki TNB Thunderbolts serta pelbagai gerai jualan produk tempatan berasaskan kraftangan dan makanan laut.

Bangga tamat kayuhan 147km

Mula berjinak dalam sukan berbasikal sejak usia tujuh tahun, Adam Haziq Azhiimi, 12, berasa teruja kerana berpeluang menyertai Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) 2018 bersama ayahnya, Azhiimi Zakaria, 41, buat kali pertama, baru-baru ini.

Biarpun berdepan cabaran cuaca panas terik dan keadaan bentuk muka bumi yang tidak menentu sepanjang laluan kayuhan di lebuh raya, Adam Haziq berjaya menamatkan kayuhan sejauh 147 kilometer (km) dalam tempoh lima jam 30 minit bersama ayahnya.

Apatah lagi, dia turut menjadi kelompok pertama yang sampai ke garisan penamat bersama ayahnya dan peserta lain.

Katanya, kenangan itu akan kekal sebagai pengalaman paling manis dalam hidupnya dan akui memang penat tetapi seronok dan puas.

“Berkat sokongan ayah yang sentiasa mengekori saya, kami berjaya menamatkan kayuhan ini bersama-sama dan mendapat medal untuk dijadikan memori keluarga.

“Kayuhan ini adalah yang paling jauh pernah saya sertai kerana sebelum ini hanya mencuba 20km saja, juga bersama ayah,” katanya.

Azhiimi yang bertugas sebagai jurutera di TNB Janamanjung Sdn Bhd (TNB Janamanjung), gembira kerana diberi kesempatan menyertai acara berprestij TNB yang memasuki tahun ke-11 penganjurannya.

Jika tahun lalu dia menyertai JMFR bersama ayahnya, kini dia bangga dapat meneruskan tradisi bersama anaknya pula.

Seorang lagi peserta, Abdul Rahim Othman, 40, berkata JMFR adalah acara yang paling dinanti-nanti bersama rakan berbasikal lain pada setiap tahun.

“Syabas saya ucapkan kepada penganjur kerana sentiasa menyediakan kemudahan lengkap kepada peserta dan boleh dikatakan, JMFR pada kali ini adalah yang terbaik.

“Ini penyertaan JMFR saya yang ke-10 dan setiap tahun, banyak penambahbaikan dilakukan penganjur untuk memastikan acara tahunan ini berada pada kelasnya yang tersendiri,” katanya.

Tambah menarik dan unik, JMFR edisi kali ini juga menyaksikan penyertaan 14 atlet paralimpik berbasikal dan empat pemain hoki kebangsaan.

Atlet paralimpik berbasikal, Muhammad Afiq Afifiy Rizan, 22, berkata penganjuran acara seperti itu wajar diteruskan setiap tahun kerana sudah mempunyai peminat tetap.

“Ia juga bagus untuk kesihatan selain secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan kekeluargaan jika peserta berkayuh bersama keluarga masing-masing.

“Penyertaan saya dan rakan atlet lain adalah sebagai tanda memberi balik kepada komuniti dan sokongan kepada TNB yang menjayakan acara penuh bermanfaat ini,” katanya.

Muhammad Afiq adalah pemenang pingat gangsa dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia menerusi acara pecut tandem (cacat penglihatan) di Los Angeles tahun lalu berganding bersama Muhammad Khairol Adha Rasol.

Penyerang skuad hoki kebangsaan, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, 32, akui JMFR memberi semangat kepada anak muda terbabit aktif dalam sukan berpasukan.

“Mana tahu, satu hari nanti kita dapat pelapis dalam sukan berbasikal negara menerusi acara seperti ini yang mengalu-alukan penyertaan peserta seawal umur tujuh tahun.

“Mereka inilah yang akan meneruskan legasi atlet sukan berbasikal dan seterusnya mengharumkan nama negara di mata dunia,” katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2018 @ 4:50am
d