mutakhir

Eh, terserempak pula...

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

KEMPEN Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang berbaki tiga hari semakin meriah apabila calon Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertembung ketika berkempen di Pasar Awam Johor Jaya, Johor Bahru, pagi ini.

Tinjauan awal NSTP mendapati, lokasi berkenaan paling sesuai dan strategik untuk semua calon parti yang bertanding pada PRU kali ini untuk berkempen kerana ia menjadi tumpuan orang ramai.

Calon yang dilihat hadir bersama penyokong ialah calon BN bagi kerusi Parlimen Pasir Gudang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta calon BN bagi kerusi DUN Johor Jaya, Datuk Tan Cher Puk.

Turut kelihatan, calon DAP yang bertanding atas tiket PKR bagi kerusi DUN Johor Jaya, Liow Cai Tung yang turut hadir bersama jentera kempennya.

Suasana menjadi meriah dan gamat apabila kedua-dua penyokong menjerit 'berlawan' antara mereka bagi membantu kempen calon yang hadir.

Mohamed Khaled berkata, beliau yakin dengan sokongan masyarakat Tionghua di Johor Jaya dan percaya pengundi di kawasan itu boleh berfikir dengan rasional pada Rabu ini sebelum membuang undi.

"Sokongan pada calon BN sangat kuat berbanding PRU lepas kerana dulu saya hanya bertanding satu kerusi, kali ini dua kerusi.

"Sambutan (masyarakat Cina) sangat baik. Pengundi kali ini rasional dengan membandingkan serta memilih (calon bertanding) berdasarkan penilaian mereka masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui NSTP selepas selesai berkempen dan bertemu peniaga di Pasar Awam Johor Jaya di sini, pagi ini.

Disiarkan pada: May 6, 2018 @ 9:51am
d