mutakhir

Pertembungan 2 gergasi politik di Teluk Intan

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

Teluk Intan: Sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, terdapat sebuah restoran nasi kandar di pinggir Sungai Perak di sini, yang terkenal dengan panggilan 'nasi lambai' kerana mempunyai cara unik menggamit pelanggan ke premis berkenaan.

Pemilik restoran akan menugaskan dua pekerjanya berdiri di depan restoran untuk melambaikan tangan kepada sesiapa saja yang lalu lalang untuk singgah di premis berkenaan.

Selaras peredaran zaman, kaedah lambaian itu tidak lagi digunakan tetapi Parlimen Teluk Intan tetap 'melambai' terutama kepada pemerhati politik untuk memberi tumpuan berikutan berlaku pertarungan dua 'gergasi' politik tanah air pada pilihan raya umum kali ini.

Ia membabitkan pertembungan antara Presiden GERAKAN yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong dengan Timbalan Setiausaha Agung DAP yang juga Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

Walaupun calon PAS turut bertanding di Parlimen itu, ramai pemerhati politik menyifatkan pertembungan sebenar adalah antara Siew Keong dan Kor Ming.

Watak berbeza

Ironinya, ia membabitkan pertembungan dua pemimpin yang mempunyai watak berbeza iaitu seorang yang lebih suka bekerja daripada banyak bercakap dan seorang lagi pemidato yang hebat di atas pentas.

Ketika ditemui, Siew Keong mengakui berpuas hati dengan maklum balas menggalakkan diterima daripada rakyat sepanjang tujuh hari kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu.

"Penerimaan rakyat ternyata jauh lebih baik berbanding PRU-13, ini mungkin disebabkan kerja pembangunan dan kebajikan yang kita buat sejak kira-kira empat tahun lalu.

Semangat berpasukan

"Semangat berpasukan antara parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) juga amat baik. Saya rasa kita ada peluang di Teluk Intan kali ini, cuma apabila ada pertembungan tiga penjuru yang mungkin sukar nak jangka kesannya," katanya.

Pada masa sama, Siew Keong turut menawarkan manifesto khas untuk Parlimen Teluk Intan yang dinamakannya sebagai 'Mah-nifesto' bertemakan 'Majulah Teluk Intan, #untukmudenganmu' yang mengandungi lapan teras utama sebagai aku janji beliau untuk memajukan kawasan berkenaan jika dipilih semula sebagai wakil rakyat.

Mah-nifesto

'Majulah Teluk Intan, #untukmudenganmu'

• Menjadikan Teluk Intan sebagai hab perindustrian.

• Membina Pusat Transformasi Bandar (UTC).

• Menaik taraf prasarana Hospital Teluk Intan.

• Menyediakan kelas tuisyen percuma kepada pelajar sekolah rendah dan menengah.

• Penambahan 500 unit di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk Fasa 2 dan 3.

• Memastikan kelancaran pembinaan hampir 1,000 unit rumah mampu milik Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

• Membantu warga Teluk Intan yang kurang berkemampuan.

• Memberi air percuma 30 meter padu kepada golongan miskin dan 90 meter padu kepada rumah ibadat.

• Menaik taraf Menara Condong Teluk Intan.

• Membina 'Laluan Warisan Anson' dan Muzium Warisan Teluk Intan bagi mempromosikan warisan tempatan.

• Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berisiko tinggi.

• Memperkasakan peranan anggota polis, Rela dan Community Policing Teluk Intan.

• Menyediakan khidmat bimbingan untuk perniagaan Kenderaan Saji (Food Truck) dan Jualan Motor Bergerak untuk penduduk tempatan.

• Mengembangkan industri berasaskan sektor hiliran komoditi dan meningkatkan peluang pekerjaan terutama bagi golongan belia.

Disiarkan pada: May 6, 2018 @ 5:03pm
d