mutakhir

Keahlian Rais Yatim masih disiasat [METROTV]

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

STATUS keahlian UMNO Tan Sri Dr Rais Yatim masih dalam peringkat siasatan sebelum parti memutuskan tindakan seterusnya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, beliau menerima laporan kononnya Rais memuat naik pelbagai kenyataan menerusi media sosial.

"Sebagai Setiausaha Agung, saya seadil-adilnya dan kalau dia pergi, kita akan ambil tindakan tapi sekarang ini saya dapat laporan kononnya dia buat macam-macam 'posting' dalam media sosial.

"Kadang-kadang media sosial ini betul, kadang-kadang tidak betul. Media sosial ini juga orang guna dengan buat akaun palsu dan sebagainya," katanya pada majlis pecah tanah Sekolah Rendah Agama (SRA) Presint 16, Putrajaya, hari ini.

Semalam, media melaporkan, UMNO sudah menyerahkan surat menggugurkan keahlian parti kepada Tan Sri Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainuddin susulan sokongan mereka terhadap pembangkang dan mengeluarkan kenyataan menghentam parti.

Tengku Adnan dilaporkan berkata, Rais pula belum digugurkan dan di peringkat perbincangan untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata, sekiranya terbukti Rais melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kelemahan kepada parti itu, tindakan terhadapnya akan diambil.

"Parti ini mempunyai struktur dan landasan jadi, kita akan kaji dan lihat semua. Jika betul dia akan merosakkan atau membuat sesuatu perkara yang akan menidakkan atau melemahkan parti, kita akan ambil tindakan.

"Dari semalam apabila saya berbincang dengan jawatankuasa yang kita tubuhkan di ibu pejabat, masih lagi kabur dan itu yang kita tak ambil tindakan lagi,... terpulang pada masa akan datang.

"Pokoknya sesiapa yang melampaui batas, kita akan ambil tindakan," katanya.

Berita berkaitan:

Hanya dua saja dipecat

Disiarkan pada: May 6, 2018 @ 5:19pm
d