mutakhir

Pengundi pos bukan 4 juta orang - SPR

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan kononnya terdapat seramai empat juta pengundi secara pos pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, jumlah sebenar pengundi yang layak mengundi secara pos pada PRU-14 ialah seramai 212,834 orang yang meliputi pelbagai kategori.

"Jumlah pengundi pos dalam kategori permohonan Borang 1A merangkumi petugas pilihan raya, anggota tentera, anggota polis dan petugas media sebanyak 149,730 permohonan.

"Bagi kategori permohonan melalui Borang 1B pula iaitu terdiri daripada warganegara Malaysia yang berada di luar negara adalah sebanyak 7,979 permohonan.

"Selain itu, permohonan melalui Borang 1C pula adalah pengundi pos yang terdiri anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Imigresen, anggota Polis Sukarelawan (PVR) dan petugas kesihatan di hospital dan klinik kerajaan.

"Antara lain ialah anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Penjara dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Secara keseluruhan permohonan dari Borang 1C ialah iaitu sebanyak 51,472 permohonan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Hashim berkata, terdapat juga kategori Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara iaitu dari kalangan penjawat awam yang bertugas di luar negara dan pasangan, serta pelajar sepenuh masa di luar negara dan pasangan iaitu sebanyak 3,653 permohonan.

"Dalam urusan pengundian pos, SPR menasihatkan semua pengundi pos supaya segera mengembalikan kertas undi pos kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di bahagian pilihan raya masing-masing sebelum jam 5 petang pada hari mengundi iaitu 9 Mei ini (Rabu).

"SPR berharap semua pengundi pos tidak mempercayai mesej viral di media sosial yang menggesa supaya pengundi pos hanya mengembalikan kertas undi pos sahaja tanpa mengembalikan borang pengesahan identiti kerana kononnya undi tidak akan menjadi rahsia lagi.

"Sekiranya mereka (pengundi pos) tidak mengembalikan kertas undi beserta dengan borang berkenaan kertas undi pos mereka tidak akan dikira dan ditolak kerana dianggap tidak ditanda oleh pemilih yang berdaftar.

Sehubungan itu katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menularkan mesej tidak benar yang berbentuk hasutan supaya pengundi pos tidak mengembalikan borang pengesahan itu.

Beliau berkata, ia memandangkan tindakan berkenaan boleh menyebabkan proses pengundian terjejas dan kertas undi itu tidak dikira dan ditolak.

"SPR memberi jaminan kepada semua pengundi termasuk pengundi pos bahawa undi mereka adalah rahsia dan tidak boleh diketahui oleh sesiapa pun," katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2018 @ 7:15pm
d