mutakhir

Penduduk Pekan penyokong tegar BN [METROTV]

Oleh Abdul Razak Raaff dan T N Alagesh

Pekan: Sokongan padu penduduk di Parlimen Pekan kepada Barisan Nasional (BN) tetap utuh dan tidak akan berganjak pada hari pengundian 9 Mei ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sokongan penduduk Pekan kepada BN tidak pernah luntur sejak zaman Allahyarham ayahandanya, Tun Razak Hussein yang juga Perdana Menteri kedua sehingga kini.

Malah, kehadiran beliau yang juga Ketua UMNO bahagian Pekan turun padang melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Paloh Hinai, pagi semalam mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk tempatan.

“PDM Paloh Hinai adalah antara tonggak utama BN dalam Parlimen Pekan sejak zaman ayahanda saya hingga sekarang.

“Walaupun dalam suasana keadaan tidak menentu sebelum ini...sokongan penduduk dan pengundi di PDM ini kepada BN tidak pernah goyang.

“Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu, sokongan pengundi PDM Paloh Hinai ialah 85 peratus dan pilihanraya kali ini saya minta tambah sehingga 90 peratus,” katanya.

Najib yang juga penyandang Parlimen Pekan bersarapan bersama lebih 500 pengundi di Dewan Orang Ramai Taman Selasih, Paloh Hinai, dekat sini.

Najib yang juga Pengerusi BN kemudian membuat tinjauan di Pusat Takungan Air Chini di Loji FELDA Chini, melawat Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) FELDA Chini Timur dan melawat tapak perumahan 1FELDA di samping beramah mesra bersama warga Felda Gugusan Chini di Pusat Tenun Chini.

Najib turut memaklumkan mengenai cadangan pembinaan masjid baru bernilai RM3.2 juta di Paloh Hinai sudah mendapat surat kelulusan serta pembinaan rumah UMNO bagi menghargai sokongan padu penduduk di situ.

Disiarkan pada: May 7, 2018 @ 12:06pm
d