mutakhir

Beli penonton FB [METROTV]

Oleh Syed Umar Ariff dan Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpu: Parti politik tertentu dikesan membeli penonton untuk memanipulasi Facebook (FB) Live dalam ceramahnya bertujuan meningkatkan jumlah tontonan bagi membentuk persepsi kononnya mereka lebih popular menguasai media sosial.

Felo Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, tindakan itu dibuat bagi mewujudkan rasa menang.

Beliau menyatakan teknik seperti ini dikesan dilakukan di satu ceramah politik dianjurkan parti tertentu di Jerlun, Kedah, di mana pautan FB Live dikongsi tiga laman FB berbeza.

“Ketiga-tiga saluran yang dibuka secara berasingan ini memiliki satu persamaan jumlah penontonnya. Jika kita lihat betul-betul ceramah di Jerlun yang disiarkan di tiga laman FB berbeza mempunyai 14,000 penonton.

“Maksudnya, ada 14,000 menonton ketiga-tiga FB ini secara serentak. Secara logiknya, apabila kita menonton FB Live, adakah kita akan membuka tiga saluran sekali gus.

“Seolah-olah anda menonton tiga saluran televisyen serentak,” katanya.

Semalam, pembangkang menganjurkan ceramah politik di Dataran Haji Salleh Lebai Junus, Jerlun, Kedah dihadiri pemimpin utama termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Mereka mungkin tidak menyedari kekhilafan yang dilakukan terutama apabila jumlah kenaikan dan penurunan penonton bukan saja pada jumlah sama, tapi juga pada masa sama,” katanya.

Menurutnya, ini bermakna jumlah penonton dimanipulasi secara elektronik kerana mustahil ketiga-tiga laman ini mempunyai jumlah penonton sama setiap masa.

Noor Nirwandy menjelaskan teknik ini diguna bagi menaikkan semangat penyokongnya di samping bertujuan mempengaruhi dan membentuk persepsi pengundi atas pagar terutama generasi muda, kelompok yang mesra dengan media sosial.

“Teknik ini perlu dikesan kerana ia boleh memberikan faktor penjelmaan palsu kepada kadar sokongan parti tertentu.

Like dan share yang mungkin dijana hasil strategi manipulatif dan pembelian digital akan membuatkan emosi masyarakat teruja dan menyertai perbuatan like dan share,” katanya.

Hasil selidik dijalankan, beliau berkongsi pautan mengenai tawaran yang dibuat menerusi pasar gelap Internet yang menawarkan perkhidmatan menjual tontonan atau penonton FB Live.

Beliau berkata, berdasarkan pakej ditawarkan, dijual AS$14 (RM55.17) hingga AS$149.98 (RM591) bagi 100 hingga 1,000 penonton.

Disiarkan pada: May 7, 2018 @ 12:15pm
d