mutakhir

Bedah lutut, kes Farid Kamil ditangguh [METROTV]

Oleh Sarah Zulkifli

MAHKAMAH Majistret Petaling Jaya, hari ini, diberitahu Datuk Farid Kamil Zahari yang menghadapi enam pertuduhan jenayah, akan menjalani pembedahan lutut di hospital di Damansara, 15 Mei depan.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Faizul Mohd Nasir, dalam prosiding sebutan semula keenam-enam kes dihadapi pelakon dan pengarah berkenaan.

Terdahulu dalam prosiding itu, Majistret Salamiah Salleh menetapkan 6 Jun depan bagi sebutan semula kes dihadapi Farid Kamil, 37.

Bagaimanapun, Faizul memaklumkan kepada mahkamah bahawa suami pelakon, Datin Diana Danielle itu akan menjalani pembedahan lutut yang mengambil masa untuk proses penyembuhan.

“Justeru, saya memohon mahkamah supaya tarikh untuk sebutan akan datang, dilewatkan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham, Faizul memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya akan menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi menggugurkan semua pertuduhan dihadapi Farid Kamil.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mary Phoon Keat Mee dan Fazeedah Faik.

Pada 16 Januari lalu, Farid Kamil berdepan empat pertuduhan, iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas serta berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara, pada 1.20 tengah hari 11 Januari lalu.

Sembilan hari kemudian, Farid Kamil turut didakwa menggunakan dadah berbahaya Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu ‘11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, 4.30 petang hari sama.

Pada 9 Mac lalu, Farid Kamil didakwa sekali lagi, iaitu mereka keterangan palsu bersabit laporan polis dengan memasukkan keterangan tidak benar yang mana laporan itu boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis menerima laporan itu.

Pelakon filem J Revolusi itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, pada 5.54 petang 31 Januari lalu.

Disiarkan pada: May 7, 2018 @ 1:57pm
d