mutakhir

800 roti canai BN, PAS, PKR laku 3 jam

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SUASANA kempen Pilihan Raya Umum (PRU-14) yang meriah dengan kibaran bendera pelbagai parti memberi ilham kepada seorang pemilik restoran untuk menghasilkan 800 keping roti canai yang dibentuk dari doh mengikut warna tiga parti politik yang bertanding.

Pemilik Empayar Didie, Mohd Najmuddin Md Noor, 31, hanya mengambil masa dua jam untuk menyiapkan doh roti canai yang diwarnakan biru, hijau dan merah yang kemudian dihias dengan logo parti.

Katanya, dia menggunakan 20 kilogram (kg) tepung gandum dan marjerin serta pewarna yang dibenarkan untuk menjadikan roti canai itu kelihatan menarik.

“Mulanya saya bimbang kerana tak semua pelanggan suka roti canai yang berwarna warni namun demi untuk kemeriahan kempen PRU-14 ini saya buat juga.

“Sebelum ini saya pernah empat kali menghasilkan roti canai berwarna warni termasuk dua daripadanya roti canai Hijau Kuning iaitu ketika pasukan Kedah melangkah ke Final Piala Malaysia, Hari Kemerdekaan dan roti canai untuk meraikan pelari solo, Pak Nasir Abas tahun lalu.

“Pengalaman itu cukup meyakinkan saya untuk menghasilkan sesuatu yang unik walaupun agak susah untuk saya menyusun doh membentuk logo tiga parti yang bertanding,” katanya di Jitra.

Mohd Najmuddin berkata, setiap keping roti canai yang dijualnya itu berharga RM1 dan kerana pilihan raya hanya berlaku lima tahun sekali.

Dia tidak taksub kepada mana-mana parti dan hanya menghasilkan roti canai berwarna warni itu sekadar suka-suka.

“Ini kali kedua saya akan mengundi, jadi saya nak mencipta satu kelainan untuk menarik minat pelanggan malah pelanggan boleh memilih warna apa yang mereka suka.

“Walau bagaimanapun saya hanya menjual roti canai mengikut warna parti politik ini hanya untuk hari ini saja kerana esok atau lusa mungkin ramai yang pulang ke kampung untuk mengundi pada 9 Mei ini, “ katanya.

Mohd Najmuddin berkata, dia tidak menyangka roti canai bertemakan warna parti itu akan habis dalam tempoh tiga jam selepas mula dijual pada jam 6 petang kerana ramai pelanggan ingin mencuba untuk menikmati roti berkenaan.

Sementara itu, pelanggan, Mohd Hizami Othman, 24, berkata, dia tertarik denga warna roti canai warna warni berdasarkan warna parti kerana ia kelihatan unik dan belum pernah dilihat sebelum ini.

Katanya, penghasilan roti canai seperti itu sangat bagus kerana ia turut menceriakan kempen PRU 14 ini walaupun masing-masing berlainan parti.

Disiarkan pada: May 7, 2018 @ 5:50pm
d