mutakhir

JIM perkenal inisiatif baru musim haji ini

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

INISIATIF Program Pra-Pelepasan Haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang akan dilaksanakan ke atas 36,480 jemaah haji Malaysia yang bakal menunaikan ibadat itu, tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Seri Mustafar Ali berkata, melalui inisiatif itu pengambilan cap jari dan semakan data jemaah haji Malaysia akan dilaksanakan di KLIA sebelum disalurkan ke pangkalan sistem haji Arab Saudi.

Katanya, objektif utama inisiatif itu bagi mempermudah dan mempercepatkan proses kemasukan jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah sekali gus menambah baik prosedur sedia ada bagi menghadapi bilangan kemasukan jemaah haji yang tinggi di Arab Saudi.

“Malaysia adalah negara pertama di dunia terpilih sebagai perintis bagi program ini. Perbincangan mengenai inisiatif ini diadakan di Jabatan Imigresen Malaysia hari ini dengan dipengerusikan Ketua Pengarah Imigresen dan Jawatankuasa Agung Haji Arab Saudi, Mejar Jeneral Mubarak Almuwina,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut hadir, delegasi dari Kerajaan Arab Saudi, Lembaga Tabung Haji, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Disiarkan pada: May 7, 2018 @ 7:06pm
d