mutakhir

Joyah tambat pengundi Sabah

Oleh Adam Salleh

IKUTKAN watak Joyah sudah tiga dekad berlalu, tetapi impaknya masih dirasai seniwati Norlia Ghani, 69.

Ketika ini, Norlia bersama rakan artis antaranya Khatijah Abu Hassan berada di Sabah untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Ketika dihubungi, Norlia sukar menyembunyikan perasaan gembiranya kerana ramai peminat di Sabah memanggilnya Joyah.

“Watak Joyah itu sudah lama, tetapi mereka boleh ingat itu yang buat saya rasa amat terharu.

“Ramai juga peminat di Sabah ini ajak saya dan rakan artis ke rumah mereka, tetapi permintaan mereka tidak dapat kami penuhi.

“Sebabnya, saya ke Sabah atas undangan untuk membantu calon wakil rakyat tertentu,” katanya.

Joyah adalah watak dipegang Norlia dalam Opah iaitu drama bersiri popular RTM yang disiarkan pada awal 80-an.

Watak Opah dipegang oleh Zaiton Hussein, manakala Khatijah Abu Hassan memegang watak Jenab.

Menurut Norlia, dia pergi ke Sabah sejak 5 Mei lalu untuk berkempen bagi calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam Datuk Mohammad Yusof Apdal, DUN Tungku Mizmah Appehdula dan Parlimen Batu Sapi Datuk Samsudin

Yahya.

“Hari pertama di Sabah, saya mula ikut calon berkempen dari Sandakan terus ke Lahad Datu. Sempat juga ke FELDA Sahabat dan mendengar cerita pencerobohan di Lahad Datu dulu.

“Pengalaman berkempen begini bukan asing bagi kami golongan artis, contoh seperti PRU-13 lalu saya ikut kempen di Sungai Limau, Yan, Kedah.

“Saya bersyukur dalam usia mencecah 70 tahun, namun diberi kesihatan untuk berkempen. Demi PRU-14 inilah, beberapa tawaran berlakon terpaksa saya tolak,” kata

Norlia diperkenalkan Tan Sri P Ramlee ke industri lakonan menerusi filem Kanchan Tirana pada 1969.

Sebagai orang lama, Norlia yang juga ibu kepada Pelakon dan Pengarah Rusdi Ramli ini sempat berpesan,

"Generasi muda usah kufur nikmat dan kena doa yang terbaik buat negara. Pemimpin itu datang dan pergi, seharusnya kita memilih pemimpin yang benar-benar berjuang untuk rakyat bukan pemimpin tin kosong,” katanya.

Disiarkan pada: May 8, 2018 @ 12:46am
d