mutakhir

'Sementara Mahathir hidup'

Oleh Wartawan NSTP

DAP mahu merebut peluang sementara Tun Dr Mahathir Mohamad masih hidup pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Melalui satu lagi klip video kontroversi ceramah Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming yang tular di media sosial hari ini selepas klip video mengenai Dr Mahathir tular semalam, beliau berkata, parti pembangkang itu tiada pilihan lain kerana calon kerusi Parlimen Langkawi pasti sudah tiada.

“Bila Mahathir mati, selepas Mahathir mendaftar di `alam roh’ nanti, PRU yang akan datang Mahathir dah tiada, siapa lagi ada cara? Untuk kasi potong itu celaka.

“Dah tak ada kan? Sebab itu kita kena merebut peluang ini. Kuda (Dr Mahathir) bunuh ayam (Najib), kalau kita terlepas peluang ini, mungkin kena tunggu 60 tahun lagi,” katanya.

Klip video berdurasi 47 saat dimuat naik oleh akaun Facebook sama iaitu yang digelar `Gerak Perak’ menunjukkan Nga yang juga Pengerusi DAP Perak berceramah dalam bahasa Cina dan terdapat terjemahan bahasa Melayu di bawahnya.

Berdasarkan terjemahan dalam bahasa Melayu klip video terbaharu itu, Nga memperlekehkan MCA sebagai lembik dan tidak akan menjadi `keras’ walaupun sudah memakan ubat kuat.

Beliau berkata, PRU-14 adalah masa terbaik untuk menukar kerajaan kerana ada pertolongan Dr Mahathir yang mungkin sudah meninggal dunia pada PRU-15.

“Kalau kali ini kita tukar kerajaan, cuba bayangkan, ada Mahathir, Lim Kit Siang, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, tiga orang yang sangat berkuasa dan berpengalaman tak mampu menyelesaikan (Datuk Seri) Najib (Razak).

Bagaimanapun, tidak dinyatakan tempat, masa dan tarikh ucapan itu berlangsung.

Sementara itu, Nga ketika dihubungi tidak mengesahkan atau menafikan klip video itu sebaliknya berkata penyebaran ucapannya itu memang sudah dijangka.

“Kempen fitnah sedang dijalankan secara besar-besaran, laporan polis telah dibuat, seluruh rakyat kini harus fokus kepada usaha membina kerajaan baharu dan tidak terpedaya dengan taktik kotor BN (Barisan Nasional) lagi,” katanya.

Disiarkan pada: May 8, 2018 @ 1:14am
d