mutakhir

Pilihan tepat demi masa

Oleh Hamizah Badiran

Kuala Lumpur: Berbekalkan fakta benar dan berwibawa, rakyat Malaysia diyakini lebih bijak memilih kerajaan terbaik demi kesejahteraan masa depan.

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, berkata setiap pengundi perlu melakukan pilihan tepat berasaskan fakta dan bukannya andaian semata-mata supaya tidak menyesal pada masa depan kerana pilihan raya adalah penentu kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Katanya, kuasa kini terletak di tangan pengundi sama ada mahu mengekalkan kerajaan sedia ada mahupun memilih kerajaan baru.

”Mengikut rekod, kerajaan sedia ada terbukti berjaya membela rakyat dalam atau luar bandar dan seterusnya memajukan negara.

”Rakyat perlu membuat pertimbangan bijak dan apa saja keputusan diperoleh nanti harus dihormati kerana mereka sudah memberi mandat atau lebih tepat wasiat kepada pihak terpilih untuk mengemudi negara.

“Saya juga menyarankan agar tidak menuding jari menyalahkan sesiapa kerana ia adalah hak demokrasi rakyat yang memilih,” katanya.

Beliau yang juga Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata demikian pada sesi Bicara BH - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Studio Balai Berita The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), di sini.

Program bertemakan Pilihan Tepat, Rakyat Sejahtera, Negara Makmur turut menampilkan Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) daripada kerajaan Thailand, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau SM Zakir dan dikendalikan wartawan BH, Basir Zahrom.

Tambah Kok Seong, pengundi perlu belajar daripada kesilapan rakyat Britain mengundi untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) atau Brexit dan akhirnya menyesali tindakan berkenaan.

Justeru, rakyat negara ini juga perlu bijak menilai kemampuan parti dan calon bertanding serta mengelak daripada terpengaruh dengan fitnah pemain media sosial.

“Seperti apa yang berlaku di Britain, apabila majoriti rakyat menyokong referendum Brexit kerana terpengaruh dengan media sosial, mereka menyesali tindakan mengundi keluar EU namun menyesal kemudian tiada gunanya.

“Selain itu, dalam konteks memilih pemimpin pada PRU14 kali ini, kebijaksanaan membuat penilaian dan pertimbangan dengan tepat amat penting.

“Retorik dan politik dua perkara berbeza. Jangan terlalu percaya kepada retorik semata-mata walaupun ia ‘sedap’ didengar terutama ketika setiap calon sedang rancak berkempen pada masa ini,” katanya.

Nasihatnya, setiap rakyat perlu bijak menentukan parti terbaik untuk masa depan negara, mengundi dengan bijak dan jangan terpengaruh dengan propaganda media sosial.

SM Zakir pula berkata, penyalahgunaan media sosial terutama untuk menyebar fitnah dan mengaibkan orang lain boleh menggugat perpaduan negara.

Menurutnya, pada 1990-an, melihat masyarakat berbilang kaum duduk semeja sambil minum kopi di warung adalah perkara biasa.

Namun kini, suasana seperti itu jarang berlaku kerana wujudnya berita tidak sahih disebarkan pihak tertentu sehingga menyentuh sentimen perkauman.

“Inilah antara contoh pengaruh media sosial dalam memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum. Ini menyebabkan wujud sentimen perkauman.

“PRU14 sama seperti pilihan raya sebelum ini yang memberi kebebasan kepada rakyat memberikan mandat kepada parti yang mereka pilih.

“Saya setuju dengan Prof Kok Seong bahawa istilah mandat itu sewajarnya ditukar kepada wasiat kerana kita memberi wasiat kepada parti tertentu untuk memerintah yang dibuat menerusi proses demokrasi,” katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan sempena program berkenaan berkata, rakyat Malaysia sudah merasai pelbagai nikmat dan manfaat pembangunan sejak merdeka lebih 60 tahun lalu dengan semua lapisan masyarakat kini dapat memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Kerajaan melalui MCMC juga sentiasa agresif dari semasa ke semasa untuk meningkatkan penembusan jalur lebar ke seluruh negara dan mengurangkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.

Inisiatif ini secara tidak langsung menyumbang dalam usaha kerajaan untuk memastikan semua rakyat mengecapi pembangunan yang sama rata dan seimbang.

Teknologi yang semakin maju dan canggih harus dimanfaatkan sebaik-baiknya dan digunakan secara positif.

Maklumat boleh diterima dengan mudah pastikan difahami dengan bijak serta bertindak bijak dalam memastikan maklumat berkenaan bukan maklumat palsu yang sengaja direka.

Semua rakyat negara ini harus bersama memenuhi tanggungjawab untuk mengekalkan Malaysia sebagai negara yang aman, makmur dan sejahtera.

Sejajar PRU14 yang diadakan esok, setiap rakyat perlu membuat pilihan yang tepat untuk menentukan masa depan negara yang gemilang.

Disiarkan pada: May 8, 2018 @ 10:16am
d