mutakhir

Dah tak 'sunyi' selepas 15 tahun

Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: “Tempoh 15 tahun bukan jangka masa singkat, diuji hilang pendengaran membuatkan kehidupan saya berubah melalui detik sukar.

“Alhamdulillah, akhirnya doa saya supaya kedua-dua pendengaran kembali sembuh dimakbulkan,” kata warga emas yang mengalami masalah pendengaran, Musa Hassan, 66.

Musa berkata, sejak dilahirkan dia tidak mengalami sebarang masalah pendengaran namun ketika berusia 40 tahun pendengaran telinga kanannya terjejas.

Menceritakan peristiwa itu, dia berkata, masalah pendengarannya mula terjejas ketika dia ke laut menangkap ikan.

“Dalam sekelip mata saja selepas masuk dalam air dan naik semula, tiba-tiba saya rasakan telinga tidak dapat mendengar.

“Sebelum ini ada terfikir mahu guna alat pendengaran, tetapi hasrat itu dilupakan kerana harganya mahal,” katanya selepas menerima bantuan alat pendengaran pada Program Penyerahan Alat Bantuan Pendengaran di Ayer Keroh di sini, semalam.

Program itu disempurnakan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Hadir sama, Pengarah Global Precision Mohd Ramizu.

Disiarkan pada: May 8, 2018 @ 10:28am
d