mutakhir

2 teras tumpu kebajikan rakyat, pembangunan

Oleh Ifwan Tun Tuah dan Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dilancarkan semalam, menggariskan dua teras utama dengan 18 kluster yang memberi tumpuan terhadap pembangunan negeri dan kebajikan rakyat.

Manifesto yang diumumkan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, itu seiring dengan dasar ‘Ke Arah Negeri Sembilan Moden 2045’, membabitkan Pelan Pembangunan Negeri Sembilan Moden 2045, Pelan Pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) dan Pelan Hala Tuju Luar Bandar.

Bertemakan ‘Bukti, Bukan Sekadar Janji’, dua teras utama dijanjikan BN Negeri Sembilan dalam manifesto bagi tempoh 2018-2022 itu ialah Memakmurkan Negeri dan Mensejahterakan Rakyat.

Mohamad berkata, menerusi teras Memakmurkan Negeri, BN meletakkan sembilan kluster yang akan diberi keutamaan iaitu ekonomi, pelaburan, infrastruktur, pendidikan, pelancongan, pertanian, perpaduan, alam sekitar dan perkhidmatan awam.

Bagi teras Mensejahterakan Rakyat, BN menggariskan sembilan kluster yang memberi tumpuan terhadap kebajikan masyarakat iaitu perumahan, kesihatan, sukan, Orang Asli, belia, wanita, kemiskinan, keselamatan dan alam sekitar.

“Segala janji melalui manifesto yang kita rancang adalah mantap, praktikal dan boleh dicapai berdasarkan kemampuan kewangan, sekali gus tidak menjejaskan kewangan negeri.

“Ini terbukti melalui kejayaan melaksanakan 44 daripada 45 aku janji yang dibuat pada PRU-13 lalu. Cuma satu tidak dilaksanakan kerana kajian semula mendapati projek itu bersifat kemahuan bukan keperluan, justeru kita beri keutamaan kepada keperluan rakyat yang lebih penting,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Manifesto BN Negeri Sembilan dan portal www.bnns2rakyat.com di sini, semalam.

Mohamad turut mengumumkan Skim Mensejahterakan Rakyat dalam manifesto BN itu, termasuk memberi tambahan caruman Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) sebanyak RM50 bagi bayi baru lahir.

Skim itu memberi bantuan khas RM1,000 dan RM500 masing-masing bagi anak Negeri Sembilan yang melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana muda dan diploma.

Antara yang menarik ialah bantuan khas RM550 kepada pasangan rakyat Negeri Sembilan yang baharu berkahwin, bantuan khairat kematian RM1,000 bagi setiap warga Negeri Sembilan dan pemberian lesen penjaja secara percuma.

Tak naik cukai tanah, cukai pintu individu BN turut berjanji untuk tidak menaikkan cukai tanah dan cukai pintu individu selama lima tahun, selain semua rumah ibadat diberikan rebat bil air yang memerlukan mereka membayar hanya RM1 setiap bulan.

Portal www.bnns2rakyat.com pula mengandungi aku janji, manifesto BN Negeri Sembilan pada PRU-14 dan pencapaian pentadbiran sepanjang lima tahun yang lalu.

Portal berkenaan memaparkan 44 daripada 45 inti pati aku janji yang sudah dilaksanakan BN negeri pada PRU-13.

“Hanya satu aku janji tidak dilaksanakan iaitu menaik taraf Masjid Negeri, Kompleks Mahkamah Syariah dan pusat sumber sedia ada. Ia akan dijalankan secara berfasa,” katanya.

Mohamad berkata, portal turut memaparkan pelaksanaan kerja oleh agensi dan jabatan kerajaan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Semua aku janji lalu berjaya dan selaras dasar kerajaan negeri. Kita akan meneruskan aku janji ini untuk PRU Ke-14,” katanya.

Disiarkan pada: May 8, 2018 @ 10:45am
d