mutakhir

Belum puas tabur bakti

Oleh Zarina Abdullah

Kuala Berang: Benarlah kata pantun, kalau memilih untuk mandi, pertama landai kedua teluk, kalau memilih pemimpin parti, pertama pandai kedua elok dan perumpamaan ini menggambarkan pemimpin yang pernah menggalas jawatan Exco kerajaan negeri, Timbalan Menteri Kewangan Malaysia dan bekas Ketua Bahagian UMNO Hulu Terengganu.

Inilah Datuk Tengku Putera Tengku Awang, calon Barisan Nasional (BN) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) N23 Kuala Berang insan yang kaya dengan pengalaman dan masih belum puas menabur bakti di kawasan yang akan dipertahankan walaupun banyak pembangunan yang dibawanya.

Namun, beliau melihat lima tahun akan datang adalah fasa kedua dalam kesinambungan Transformasi Terengganu Baru yang diwujudkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Pemimpin berjiwa rakyat itu memfokuskan pembangunan dalam bidang ekonomi, sosial dan agama serta mempunyai banyak visi bagi meletakkan Kuala Berang setanding dengan bandar raya yang ada seperti Kuala Terengganu, Chukai dan Jertih.

Jelas, Kuala Berang ada segalanya, berdekatan dengan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Tasik Kenyir dan kawasan bebas Cukai, serta produk tempatan terutama makanan seperti jagung, ikan baung, kelah dan lampam yang menjadi tag pengenalan kepada bandar di bawah tasik ini.

Optimis Kuala Berang bakal menjadi popular ekoran dekatnya jarak dengan LPT2, Tengku Putera berkata, tempat itu lebih selesa kerana menjadi pertemuan untuk perjalanan ke Ipoh, Kota Bharu dan Cameron Highlands.

Bercerita mengenai pembangunan, menurut Tengku Putera, sepanjang lima tahun lalu, projek jalan dan bantuan perumahan memang diberikan perhatian serius bersama pembinaan enam masjid di enam kampung yang berada dalam DUN Kuala Berang.

Katanya, hadiah khas Menteri Besar berikutan kemenangan Kuala Berang kepada BN, memungkinkan pembinaan Masjid Sultan Mahmud yang menjadi mercu tanda baru Kuala Berang dengan hotel patuh syariah sebanyak 66 bilik serta rumah kedai.

Tengku Putera berkata, pembinaan hotel dan rumah kedai ini akan menjana ekonomi masjid bagi memanfaatkan rakyat untuk peningkatan taraf hidup.

“Bagi masalah utama banjir, kami sudah membina kolam takungan bernilai RM1.5 juta sementara tiga pusat pemindahan banjir baru dibina di Kampung Tok Bat, Kampung Pulai Besar dan Batu 23 di mana kawasan ini disertakan dengan kedai dan kawasan perumahan mampu milik 500 unit.

“Selain penambahan 1,000 unit rumah, sebuah perkampungan PPRT berkonsepkan rumah teres dibina 10 unit di Taman Kasih OKB,” katanya.

Menurutnya, Kuala Berang bakal dilonjakkan ekonominya apabila syarikat Samsung berpindah dalam kawasan perindustrian 1,000 hektar berhampiran LPT2, di mana pusat wilayah syarikat itu akan beroperasi dengan bakal menawarkan pekerjaan untuk orang muda yang berkelayakan dalam bidang berkaitan.

Tengku Putera berkata, kuasa beli masyarakat di Hulu Terengganu semakin meningkat, sekali gus menjana kegiatan ekonomi setempat.

“Saya ingin merekodkan tiga hypermarket di Kuala Berang berjaya mengutip antara RM18 hingga RM20 juta setahun,” katanya dengan harapan Kuala Berang terus gemilang untuk tempoh lima tahun lagi di bawah Barisan Nasional.

Disiarkan pada: May 8, 2018 @ 10:50am
d