mutakhir

Syukur dapat bekalan air, elektrik

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

HIDUP serba kekurangan serta tinggal di rumah tidak mempunyai bekalan kemudahan asas sejak tiga tahun lalu cukup memeritkan warga emas, Wan Lijah Wan Ahmad.

Ketika jiran lain mempunyai bekalan kemudahan asas seperti air dan elektrik, Wan Lijah, 80, bersama anak perempuannya, Fatimah Abdullah, 47, terpaksa mengangkut air perigi untuk mandi selain mengharapkan ihsan jiran berkongsi bekalan asas itu dengan mereka.

Bagaimanapun, kehidupan daif ibu tunggal yang kematian suami sejak tahun 1999 itu berubah sepenuhnya apabila usaha Universiti Malaysia Pahang (UMP) membaik pulih dan menaik taraf rumah mereka membolehkan wanita warga emas itu menjalani kehidupan selesa.

Wan Lijah berkata, projek diusahakan UMP di bawah program Facelift D’€™ Kuala Pahang bermula sejak tiga bulan lalu apabila ia menelan belanja RM37,000.

“Mereka (UMP) beri panel solar untuk bekalkan tenaga elektrik di rumah mak cik, selain itu kemudahan bilik air dan mesin mengepam air turut disediakan.

“Rumah ini dahulu suram jadi cantik dan berseri selepas mereka cat semula dan berseri.

“Mak cik nak ucapkan terima kasih kepada UMP dan kerajaan yang ada pada hari ini kerana prihatin dengan kesusahan masyarakat seperti keluarga mak cik," katanya selepas menerima kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pekan, hari ini.

Beliau yang mempunyai tujuh anak tinggal bersama anak keduanya, Fatimah, menantu lelaki serta empat cucunya itu mengakui tanpa bantuan UMP dan kerajaan, mereka tidak mampu membaik pulih rumah memandangkan menantunya tidak mempunyai pendapatan tetap.

Wan Lijah turut teruja apabila dimaklumkan perkhidmatan penyelenggaraan panel solar itu akan diuruskan UMP pada masa hadapan tanpa perlu dia memikirkan soal kewangan.

Sementara itu, Naib Canselor UMP, Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim, berkata program Facelift D’ Kuala Pahang yang dimulakan sejak tahun lalu membabitkan 61 rumah di sekitar Kuala Pahang.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 55 projek ubah suai kediaman dan enam rumah yang dibina baharu.

“UMP berusaha supaya program Facelift ini dapat diteruskan di Kampung Marhum, Taman Mutiara yang terletak di mukim Kuala Pahang serta di Kampung Serun, Nenasi, Pekan dalam masa terdekat.

“Kita ingin beri penempatan selesa kepada penduduk yang memerlukan selain berkongsi kepakaran dengan memberi bimbingan dan tunjuk ajar daripada pensyarah UMP dalam menjayakan projek pertanian fertigasi dengan menggunakan teknologi terkini kepada penduduk setempat,” katanya.

Selain itu, Daing Nasir berkata, UMP turut membina Kuala Pahang (KP) House yang berperanan sebagai Pusat Transformasi Sosial Kuala Pahang bertujuan memberi manfaat kepada murid dan pelajar sekolah membabitkan diri dalam aktiviti pendidikan.

Disiarkan pada: May 8, 2018 @ 3:10pm
d