mutakhir

Kerani mahkamah dijel 12 bulan, 1 sebatan

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

SEORANG kerani di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dihukum penjara 12 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas didapati bersalah atas pertuduhan menipu wang denda dalam satu kes mahkamah, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak memutuskan demikian terhadap Shahnaz Khan Kamarzaman, 37, selaku responden selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan ke atas keputusan Mahkamah Majistret pada 23 Februari 2017 yang melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan itu.

Mohd Sofian bagaimanapun membenarkan permohonan peguam PG Cyril dan Farhan Read untuk penangguhan pelaksanaan hukuman, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan responden perlu membayar jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan melapor diri di balai polis berhampiran tempat tinggalnya, setiap tiga minggu sehingga selesai perbicaraan rayuan.

Dalam keputusannya, Mohd Sofian berkata, mahkamah mendapati Mahkamah Majistret sebelum ini terkhilaf dalam menilai keterangan dan bukti sedia ada.

Selain itu, mahkamah mendapati pembelaan responden adalah satu penafian semata-mata serta tidak konsisten.

Terdahulu, Cyril memohon anak guamnya yang kini digantung tugas diberikan bon berkelakuan baik atas alasan tertuduh masih muda dan mempunyai masa depan yang cerah.

"Anak guam mempunyai isteri dan anak yang masih kecil. Dalam kes ini mangsa tidak mengalami kerugian," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafizah Rajuni bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman yang berat kepada lelaki itu dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukannya adalah serius.

" Sebagai penjawat awam tertuduh sepatutnya menjalankan tugas dengan penuh integriti dan ikhlas namun perbuatannya menjejaskan imej mahkamah di mata masyarakat," katanya.

Mengikut pertuduhan, Shahnaz didakwa menipu Che Su Abdullah, 59, dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai dia boleh menolong membayar wang denda RM4,000 bagi kes dadah membabitkan menantu mangsa sehingga Che Su menyerahkan wang itu kepadanya.

Lelaki berkenaan dituduh melakukan kesalahan itu di Unit Hasil dan Deposit Bahagian Kewangan, Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, Kuala Lumpur, antara 9 pagi dan 12.30 tengah hari, 13 Julai 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: May 8, 2018 @ 3:58pm
d