mutakhir

Pencadang calon Warisan maut dirempuh

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

KETUA Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Libaran maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika sedang minum di sebuah restoran di Bandar Utama IJH, Batu 6, Sandakan, pagi tadi.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, Aris Malayu, 56, meninggal dunia di tempat kejadian akibat patah tulang rusuk dan terkena jantung selepas terhimpit antara kenderaan terbabit dan tiang di dalam restoran berkenaan.

Mangsa adalah pencadang kepada calon Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga, Asmara Abdul Rahman pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Dewan Serbaguna Libaran, Sandakan pada 28 April lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, ketika kejadian mangsa bersama rakannya minum di meja di bahagian hadapan restoran berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, secara tiba-tiba sebuah Honda CRV dipandu wanita berusia 61 tahun yang hendak meletakkan kenderaan di hadapan restoran meluncur lalu merempuh masuk ke dalam premis berkenaan dan melanggar mangsa menyebabkannya tersepit.

“Pemandu kenderaan disyaki tertekan pedal minyak lalu kenderaan itu meluncur dan melanggar mangsa yang berada di meja berhadapan kenderaan terbabit. “Akibat rempuhan itu, mangsa maut di tempat kejadian manakala pemandu Honda CRV tidak cedera," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, hari ini.

Video kemalangan itu yang diperoleh dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kemudian viral di media sosial, termasuk berita palsu disebarkan kononnya mangsa yang maut ialah calon Warisan Parlimen Libaran, Irwanshah Mustapha.

Ramli berkata, pemandu terbabit sudah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Susulan insiden ini, kita menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan kegusaran memandangkan mangsa adalah ahli politik," katanya.

Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menerusi kenyataan menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan menasihatkan penyokong parti itu supaya membuat tidak andaian serta menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, adik mangsa, Sudin Malayu, 52, ketika ditemui di Hospital Duchess of Kent di Sandakan berkata, berkata ketika kejadian dia berada di tandas selepas memesan minuman.

“Saya tak dengar apa-apa sehinggalah keluar tandas apabila melihat abang terbaring. Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan beliau sebelum ini memang sibuk berkempen sempena PRU-14.

“Kami menerima kejadian ini dengan reda... kejadian ini lebih kepada masalah teknikal,” katanya.

Disiarkan pada: May 8, 2018 @ 4:52pm
d