mutakhir

Keputusan penuh PRU-14 jam 10 malam esok

Oleh Irwan Shafrizan Ismail dan Noor Atiqah Sulaiman

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menjangka dapat mengumumkan keputusan penuh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sekitar jam 10 malam esok.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, sekiranya SPR mendapat keputusan lebih awal dari yang dijangka, ia akan terus mengumumkannya.

“Sekiranya dapat keputusan awal, SPR akan umum awal. Harap-harap (keputusan) dapat umum sebelum jam 10 (malam),” katanya kepada NSTP, hari ini.

Sebelum itu, Mohd Hashim dalam kenyataannya berkata, seramai 14,449,200 pemilih yang berdaftar dengan SPR akan mengundi esok di 8,253 pusat mengundi yang mempunyai 28,115 saluran tempat mengundi.

Beliau berkata, semua pusat mengundi berkenaan akan dibuka pada jam 8 pagi dan masa pengundian ditutup adalah berbeza-beza mengikut lokasi pusat mengundi serta jumlah pengundi manakala waktu pengundian akan ditutup sepenuhnya pada jam 5 petang.

“Memandangkan keadaan cuaca pada hari pengundian diramalkan hujan, pengundi dinasihatkan supaya merancang masa untuk keluar mengundi dan tidak keluar pada saat akhir terutama bagi pengundi yang mengundi di lokasi pengundian yang ditutup awal,” katanya.

Disiarkan pada: May 8, 2018 @ 7:46pm
d