mutakhir

'Semuanya terbakar...'

Oleh Teoh Pei Ying

SEMBILAN rumah setinggan dan sebuah bengkel motosikal musnah dalam kebakaran di Kampung Fajar, Hulu Kelang, di Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, pada kejadian jam 11.50 pagi itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Ariff Mohamed Kassim berkata, kebakaran dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak ke kediaman lain.

Ketika kejadian, penghuni di unit rumah yang mula-mula terbakar dilaporkan keluar mengambil anaknya di pusat asuhan.

Beliau berkata, kejadian kemudian disedari oleh penghuni rumah bersebelahan yang segera menghubungi bomba.

“Bomba menerima panggilan kecemasan jam 12.08 tengah hari.

“Susulan itu, lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang, Pandan, Wangsa Maju dan Keramat, dengan kekuatan 43 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Bomba mengambil masa hampir 16 minit bagi mengawal api daripada merebak ke 13 rumah setinggan lain," katanya ketika dihubungi.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Gawri Raman, 34, berkata, walaupun sedih dengan kejadian itu, dia bersyukur kerana ahli keluarganya selamat.

"Semasa kejadian saya keluar untuk mengambil anak berusia tiga tahun di pusat asuhan, bersama anak perempuan sulung saya.

“Sebaik pulang ke rumah, jiran memaklumkan kediaman saya terbakar.

"Saya tidak dapat menyelamatkan apa-apa barang berharga, semuanya terbakar,” katanya.

Disiarkan pada: May 8, 2018 @ 8:16pm
d