mutakhir

Atlet cilik tumbangkan budak Mesir

Oleh Farah Suhaidah Othman

“HAZRIQ rasa bangga bila lagu Negaraku berkumandang sebab sebelum ini selalu tengok dalam televisyen saja kalau atlet negara menang pingat emas.”

Demikian kata-kata atlet muay Iskandar Hazriq Mohd Ezry A’zamin kepada bapanya Mohd Ezry A’zamin Abdul Wahab menerusi panggilan telefon malam tadi.

Iskandar Hazriq, 11, yang mewakili negara meraih pingat emas dalam kategori Superkid di Kejohanan Muay Sedunia 2018 yang diadakan di Rhodes, Greece sejak 1 Mei lalu.

Atlet itu mengharumkan nama negara dengan menumpaskan peserta dari Mesir di peringkat akhir kategori berkenaan.

Mohd Ezry A’zamin berkata, anak keduanya itu berlepas ke Greece pada Jumaat lalu bersama Eksekutif Persekutuan Muay Sedunia Kuah Theam Loong bagi menyertai kejohanan terbabit.

Katanya, dia menerima panggilan daripada Kuah Loong pada 2.30 pagi tadi (waktu Malaysia) memaklumkan anaknya berjaya meraih emas dalam kategori Superkid sekali gus menumpaskan lawan dari Mesir di peringkat akhir kategori itu.

“Lebih menyeronokkan apabila dia beritahu saya, semua ketua kontinjen beri tunduk hormat apabila lagu kebangsaan Malaysia berkumandang.

“Sebelum ini dia (Hazriq) hanya menonton televisyen sahaja apabila atlet negara memenangi pingat emas, namun malam tadi dia kata bagaikan angan-angan menjadi nyata,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ezry A’zamin berkata, dia bersyukur anaknya mendapat laluan mudah ketika berdepan dengan lawan untuk ke peringkat akhir, malah Hazriq turut tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang berada di luar negara.

“Meskipun kebanyakan pihak lawan mempuyai susuk badan yang tinggi dan besar, namun Hazriq tidak berdepan masalah, malah menggunakan teknik latihan yang diajar sejak berusia empat tahun dalam setiap perlawanan.

“Sebaik acara itu tamat, Hazriq memberitahu ramai ketua kontinjen memuji badannya kecil tetapi teknik dan taktikal yang digunakan mampu menewaskan pihak lawan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pemergian Hazriq ke negara itu tidak mudah berikutan mereka terpaksa berkorban wang ringgit demi membolehkan anaknya menyertai kejohanan terbabit.

“Saya terpaksa menjual motosikal dan telefon bimbit untuk membiaya perbelanjaan Hazriq ke Greece.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Datuk Shalimin (Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie) banyak membantu termasuk menaja tiket penerbangan Hazriq,” katanya.

Disiarkan pada: May 8, 2018 @ 10:48pm
d