mutakhir

Berpantang pun boleh mengundi

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

IBU dalam pantang teruja untuk mengundi buat pertama kali di Sekolah Kebangsaan Sungai Korok, Balik Pulau.

Rashidah Aziz, 26, yang baharu seminggu berpantang selepas melahirkan anak sulungnya, tiba di pusat mengundi bersama adik dan abang iparnya, pada 10.45 pagi tadi.

“Saya sangat teruja mahu mengundi kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini. Saya juga mendapat sokongan keluarga untuk keluar mengundi walaupun dalam tempoh berpantang.

“Saya datang dengan adik dan abang ipar kerana suami sudah pun mengundi tadi. Kami bergilir-gilir untuk menjaga bayi ketika seorang daripada kami pergi mengundi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, warga emas, Thor Guek Sei, 87, bersemangat untuk keluar mengundi pada PRU-14, walaupun mengalami kesukaran untuk berjalan.

Katanya, beliau tidak pernah terlepas untuk mengundi walaupun kesihatannya agak merosot dan terpaksa berjalan menggunakan tongkat.

“Saya sangat teruja dan gembira untuk menunaikan tanggungjawab dan datang dengan kawan sebab suami pun sudah tiada dan anak pula perlu masak makan tengah hari di rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan A A Anbalagan, berkata keadaan di 43 pusat mengundi bagi dua Parlimen dalam Daerah Barat Daya dalam keadaan terkawal.

“Setakat ini proses mengundi di pusat mengundi bagi Parlimen Bayan Baru dan Balik Pulau berjalan lancar dan tiada sebarang perkara tak diingini berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 12:16pm
d