mutakhir

10 pagi, 24% dah mengundi - SPR

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

SETAKAT 10 pagi hari ini, 24 peratus daripada 14.9 juta pengundi sudah melaksanakan tanggungjawab mengundi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, angka itu menunjukkan satu perkembangan positif memandangkan pusat mengundi hanya dibuka pada 8 pagi tadi.

“Hingga jam 10 pagi ini, sudah 24 peratus daripada 14.9 juta pemilih berdaftar sudah keluar mengundi.

“Ini perkembangan yang baik kerana SPR sasarkan 85 peratus pengundi akan keluar mengundi bagi PRU-14 ini.

“Selain itu, berdasarkan laporan yang saya terima setakat ini, proses pengundian di seluruh negara berjalan lancar, dan jika ada isu pun mungkin berkaitan pengundi perlu beratur lama. Kita minta pengundi banyak-banyakkan bersabar,” katanya selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(1), hari ini.

Mengenai isu kemungkinan pengundi tersilap memasukkan kertas undi mereka ke dalam kotak undi yang salah, Mohd Hashim berkata, mereka tidak perlu bimbang mengenai undi rosak.

“Jika tersalah letak, maksudnya sepatutnya dalam kotak Parlimen tetapi mereka letak dalam kotak Dewan Undangan Negeri (DUN). Ia tidak semestinya akan menjadi undi rosak kerana ada ejen parti yang akan memantau ketika proses penjumlahan undi nanti,” katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 12:37pm
d