mutakhir

Beratur panjang akibat keluar serentak [METROTV]

Oleh Zanariah Abd Mutalib; Fairuz Mohd Shahar dan Suhaila Shahrul Annuar

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menjelaskan isu pengundi terpaksa beratur panjang di pusat pengundian hari ini berlaku akibat mereka keluar serentak dalam satu masa.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata situasi itu dipercayai berlaku berikutan pengundi terpengaruh dengan mesej tular sebelum ini yang menggesa pengundi keluar awal supaya tidak ada orang lain mengundi menggunakan nama mereka.

Beliau berkata, SPR sebelum ini sudah memaklumkan supaya pengundi merancang dan keluar mengundi secara berperingkat supaya tidak berlaku kesesakan dan terpaksa beratur panjang.

“€œDifahamkan, ada kes pengundi meninggal dunia, namun ia kejadian di luar jangka dan SPR sudah mengambil tindakan sewajarnya.

“Bagi pihak SPR, saya merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa serta meminta SPR negeri untuk mengambil langkah sewajarnya,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, SPR tidak akan melanjutkan waktu mengundi dan pusat mengundi akan tetap ditutup pada 5 petang ini.

Menurutnya, SPR sudah membuat semakan berkaitan isu tular kertas undi tidak dicap yang didakwa berlaku di sebuah pusat mengundi dan hasil semakan ia tidak berlaku seperti ditularkan.

“€œNamun, SPR menjelaskan jika berlaku kesilapan itu, ia adalah kes terpencil dan pengundi diminta tidak bimbang kerana sekiranya Ketua Tempat Mengundi berpuas hati bahawa kertas undi dikeluarkan secara sah dan ia hanya kesilapan petugas dalam salurannya, maka Ketua Tempat Pengundi berkenaan tidak boleh menolak mana-mana kertas undi dalam keadaan ia sudah dikeluarkan secara sah.

“€œPengundi diminta supaya tidak terpedaya dengan mesej tular kononnya SPR melakukan penipuan dengan cara demikian kerana proses ini turut disaksikan semua pihak berkepentingan termasuk ejen calon.

“€œSPR percaya mesej tular itu cuba menimbulkan situasi panik dan curiga dalam kalangan pengundi terhadap SPR,” katanya.

Berhubung isu undi pos tidak sampai, Mohd Hashim berkata, SPR sudah menerima aduan mengenai perkara itu dan akan menyiasat masalah atau punca berlaku kelewatan penghantaran yang menyebabkan pengundi tidak menerima kertas undi mereka atau lewat diterima.

Selain itu, beliau berkata, mesej tular mengenai seorang remaja ditahan kerana didakwa membawa kertas undi palsu di sebuah pusat mengundi di Port Dickson, Negeri Sembilan, pihak yang menahan remaja itu sepatutnya membuat laporan polis, bukan ditularkan dalam media sosial.

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 3:26pm
d