mutakhir

Pandelela pun sudah mengundi

Oleh Norsyazwani Nasri

KEHADIRAN Ratu Terjun Negara, Pandelela Rinong, 25, antara tarikan utama suasana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Sarawak, hari ini.

Malah, ia memberi pengalaman cukup manis kepada Pandelela yang pertama kali menunaikan kewajipannya sebagai pengundi.

Ketika ditemui di pusat mengundi Perpustakaan Taman Samarindah Kota Samarahan, pagi tadi, beliau yang ditemani bapanya cukup teruja bersama masyarakat lain untuk mengundi.

"Saya cukup teruja kerana ini baru pertama kali turun mengundi dan menunaikan kewajipan sebagai warganegara.

"Bagi memastikan tanggungjawab ini dapat dilaksanakan dengan lancar, saya bangun seawal 6.30 pagi dan tiba di pusat mengundi pada 8.15 pagi," katanya.

Katanya, beliau berasa gembira kerana dapat menunaikan tanggungjawab kepada negara sebagai pengundi .

Pusat mengundi di Perpustakaan Taman Samarindah memiliki 898 pengundi berdaftar.

Keseluruhannya, 18 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditempatkan di situ bagi memastikan kelancaran proses pembuangan undi yang diselia oleh Penyelia Pusat Mengundi, Baharom Ahmad.

Pada PRU-14 ini, calon BN Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang berdepan pertandingan tiga penjuru dengan Sopian Julaihi (PKR) dan Zulkipli Ramzi (PAS).

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 3:38pm
d