mutakhir

Sampai sanggup tidur dalam kereta...

Oleh Ahmad Ismail

SEORANG pengundi yang tinggal di Putrajaya sanggup tidur dalam keretanya di hadapan pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buloh Kasap, dekat Segamat, untuk menjadi pengundi pertama.

Usahawan, VJ Mohan, 60, berkata, beliau bertolak dari kediamannya di Putrajaya kira-kira jam 12 tengah malam sebelum tiba di perkarangan pintu pagar hadapan pusat pembuangan undi di SMK Buloh Kasap di Jalan Buloh Kasap, dekat Segamat, kira-kira jam 3 pagi.

Katanya, beliau mengambil keputusan tidur dalam kereta sementara menunggu pusat mengundi dibuka pada jam 8 pagi.

“Saya mula beratur di pintu pagar utama SMK Buloh Kasap pada jam 6.30 pagi dan menjadi orang pertama beratur hari ini,” katanya.

Mohan berkata, walaupun tidak dapat tidur dengan selesa, beliau tetap bersemangat untuk menunaikan tanggungjawab dan ini adalah kali kedua beliau mengundi.

“Sebenarnya, saya sengaja tidak menukar lokasi mengundi di Putrajaya kerana tetap mahu mengundi di Segamat. Sebelum kembali ke Putrajaya saya juga mahu menikmati ikan baung masak lemak cili api di sini, selain bertemu dengan rakan lama,” katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 4:42pm
d