mutakhir

'Kami bukan warga asing lah...' [METROTV]

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

HANYA kerana wajah yang mirip dengan warga asing, dua lelaki tempatan dipukul enam lelaki ketika mahu menjalankan tanggungjawab mengundi di Johor Jaya, Johor Bahru, hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa A Ambiga Pathi, 28, dan abangnya A Ragupathy Raja Ram, 37, dihalang hampir 15 individu sebelum dipukul oleh enam lelaki lain.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata susulan kejadian itu, pihaknya sudah menahan enam lelaki untuk siasatan lanjut.

“Kejadian berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Johor Jaya 1, dan suspek memukul mangsa kerana syak mangsa bukan warganegara yang datang untuk mengundi.

“Semua enam suspek berusia antara 21 hingga 27 tahun sudah ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan,” katanya.

Mohd Khalil berkata, semua suspek ditahan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan parah, sebaliknya hanya lebam di bahagian belakang dan pipi.

“Polis menasihatkan orang ramai untuk tidak bertindak mengikut emosi kerana negara ini mempunyai undang-undang dan apa-apa perkara yang tidak berpuas hati, rujuk pada pegawai bertugas di semua pusat mengundi,” katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 5:06pm
d