mutakhir

Berbasikal 200 km pulang mengundi

Oleh Rahmat Khairulrijal

JARAK lebih 200 kilometer tidak menjadi penghalang bagi dua peminat sukan berbasikal untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), hari ini.

Suhaimi Mat Salleh, 39, yang menetap di Taman Melawati, Kuala Lumpur berkata, dia sudah lama merancang misi kayuhan untuk pulang ke kampung halamannya di Baling , Kedah.

Katanya, misi itu bersama rakan senegeri, Muhammad Zainurin Akmal Ahmad Zaini, 29.

Bapa kepada dua anak itu berkata, dia memulakan perjalanan dari ibu negara empat hari sebelum hari mengundi.

"Saya pergi ke Ipoh, Perak menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan bertemu Zainurin di stesen kereta api sebelum meneruskan perjalanan ke Taiping yang jaraknya merangkumi lebih 60 kilometer.

"Kami tinggal di Taiping selama sehari dan sempat melawat beberapa tempat menarik dan bersejarah sebelum meneruskan perjalanan ke Parit Buntar keesokan harinya.

"Pelbagai cabaran kami tempuhi sepanjang perjalanan, namun syukur kami berjaya dapat mengatasi rintangan.

"Kemudian, kami tiba di Kedah pada Ahad seterusnya merancang untuk pulang semula ke Kuala Lumpur esok dengan menaiki kereta api," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Suhaimi yang turut dikenali sebagai Kalai dalam kalangan rakannya itu berkata, ini adalah kali ketiga dia mengundi, namun kali pertama berbasikal pulang ke kampung.

"Saya percaya, jika ada kemahuan di situ ada jalan untuk kita melakukan sesuatu yang berada di luar zon selesa," katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 5:32pm
d