mutakhir

3 calon Bebas menang kerusi Parlimen

Oleh Wartawan NSTP

TIGA calon Bebas disahkan memenangi tiga kerusi Parlimen, iaitu Batu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan Julau serta Lubok Antu di Sarawak mengikut keputusan rasmi setakat 10.45 malam, hari ini.

Kerusi Parlimen Batu dimenangi oleh Prabakaran, manakala Parlimen Julau pula Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien, dan Parlimen Lubok Antu (Jugah Muyang).

Prabakaran menang dengan majoriti 24,438 undi, mengetepikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, Azhar Yahya (PAS) dan Datuk V M Panjamothy (Bebas).

Persaingan di kerusi Parlimen yang disandang Naib Presiden PKR, Tian Chua itu menyaksikan Prabakaran meraih 38,125 undi, Hoe Chai (13,687), Azhar (10,610) dan Panjamothy (383).

Dalam pertandingan satu lawan satu bagi kerusi Parlimen Julau pula, Wei Shien menewaskan calon BN yang juga penyandang, Datuk Joseph Salang Gandum, dengan majoriti 1,931 undi.

Wei Shien yang juga bekas Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP), berjaya meraih 10,105 undi, manakala Salang mendapat 8,174 undi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Salang memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 5,955 undi, mengalahkan Wong anak Judat yang bertanding atas tiket SWP dan Wong Hong Yu (PKR).

Bagi kerusi Parlimen Lubok Antu, Jugah menang dengan majoriti 1,059 undi dalam persaingan tiga penjuru dengan Robert Pasang Alam (BN) dan Nicholas Bawin Anggat (PKR).

Beliau memperoleh 5,834 undi, sementara Pasang pula mendapat 4,775 undi dan Bawin (3,942).

Kerusi Parlimen Lubok Antu disandang Datuk William Nyallau Badak yang bertanding atas tiket BN pada PRU-13.

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 11:02pm
d