mutakhir

Sejam tahan sakit...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KANAK-KANAK lelaki terpaksa menahan sakit hampir sejam apabila kaki kirinya tersepit dalam lubang papan gelongsor di Taman Universiti Indah, Serdang, hari ini.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.51 petang.

“Seramai 11 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati kaki kiri kanak-kanak berusia 10 tahun itu tersepit di dalam lubang pada permainan gelongsor di taman berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan kaki kiri mangsa yang tersepit.

“Kami menggunakan mesin gergaji untuk memotong besi pada permainan terbabit dalam usaha mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit. Mangsa cedera ringan di bahagian kaki,” katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 11:37pm
d