mutakhir

Laluan ke Istana Negeri, Sri Gaya ditutup [METROTV]

Oleh Wartawan NSTP

KAWALAN keselamatan di Jalan Istana menuju Istana Negeri di Kota Kinabalu, ditingkatkan apabila anggota polis berkawal di kawasan terbabit, awal pagi tadi.

Laluan ke istana ditutup kepada orang awam, begitu juga laluan masuk ke Sri Gaya, kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah.

Bagaimanapun, tinjauan mendapati keadaan terkawal dengan petugas media turut berkumpul di luar Istana Negeri sebagai persediaan kemungkinan ada majlis angkat sumpah membabitkan Ketua Menteri Sabah.

Difahamkan, sebelum ini pemimpin Barisan Nasional (BN) yang menang kerusi masing-masing bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkumpul di Sri Gaya.

Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama calon parti itu serta rakan mereka dari DAP berkumpul di kediaman beliau di Bukit Padang, di sini.

Pembentukan kerajaan baharu Sabah genting apabila parti komponen BN dan pakatan WARISAN bersama DAP dan PKR masing-masing terikat 29 kerusi.

Baki dua daripada 60 kerusi DUN lagi dimenangi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) diketuai Datuk Dr Jeffrey Kitingan, namun setakat ini parti itu belum menyatakan pendirian untuk menyokong mana-mana pihak sekali gus membolehkan kerajaan negeri dibentuk.

Disiarkan pada: May 10, 2018 @ 10:31am
d