mutakhir

Kisah Rita laris semacam

Oleh Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Buku biografi berjudul Kerana Aku Seorang Perempuan yang memaparkan kisah hidup pelakon popular Rita Rudaini mendapat sambutan dan akan dicetak kali kedua sebanyak 3,000 naskhah lagi, minggu depan.

Rita berkata, dia berasa sangat terharu dengan sambutan hangat daripada orang ramai terutama peminat setianya.

“Saya bersyukur dan sangat menghargai sokongan padu peminat yang sentiasa menyokong sejak dulu.

“Secara peribadi, biografi ini adalah kisah benar dan suara paling jujur dari hati ini selepas terbabit dengan pelbagai kontroversi rumah tangga sehingga ke mahkamah,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Rita, tempahan untuk cetakan kedua buku tulisan Pengarang Hiburan Mingguan Malaysia, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin itu juga sudah mula dibuka kepada orang ramai.

Cetakan pertama buku berkenaan sebanyak 3,000 naskhah sudah habis dijual dalam tempoh empat hari selepas ia dilancarkan pada 1 Mei lalu.

“Saya berharap peminat yang kecewa kerana tidak dapat beli buku cetakan pertama tidak melepaskan peluang keemasan untuk mendapatkan buku cetakan kedua ini sebelum kehabisan. Mereka yang membuat bayaran lebih awal akan didahulukan.

“Pihak kami juga akan melancarkan buku biografi ini di Singapura, sekali gus untuk sesi bertemu peminat di sana bulan depan,” katanya.

Ditanya kelainan pada buku cetakan kedua itu, Rita berkata, ada sedikit penambahan fakta dan juga gambar yang lebih menarik.

“Dari segi jalan ceritanya pula masih sama kecuali penambahan sedikit fakta yang tidak dapat dimasukkan sebelum ini kerana buku cetakan pertama berkenaan khusus untuk penerbitan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum ini.

“Jadi, kali ini kita masukkan gambar eksklusif itu supaya tidak ada mana-mana bahagian tertinggal untuk cetakan kedua ini,” katanya.

Selain kisah bersama dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7, buku itu antara lain berkongsi secara eksklusif foto perkahwinan dengan pemain bola sepak Johor Darul Takzim, Aidil Zafuan yang berlangsung dalam gudang beras di Selatan Thailand.

Disiarkan pada: May 10, 2018 @ 10:58am
d