mutakhir

Ahmad angkat sumpah MB Kelantan

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

DATUK Ahmad Yakob mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan di Istana Kota Lama, Kota Bharu, hari ini.

Majlis angkat sumpah berkenaan dilakukan di hadapan Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan dilantik sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua selepas menggantikan Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Istiadat mengangkat sumpah dan menerima watikah perlantikan bermula 11.30 pagi ini.

Majlis berkenaan disaksikan Tengku Temenggong, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz; Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Bache, Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad dan Mufti Kelantan, Datuk Mohd Shukri Mohamad.

Majlis angkat sumpah bagi jawatan Timbalan Menteri Besar dan barisan Exco akan diadakan pada hari berlainan yang akan dimaklumkan nanti.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Kelantan menyaksikan PAS menang 36 kerusi DUN dan sembilan kerusi Parlimen, manakala Barisan Nasional (BN) menang sembilan kerusi DUN dan lima Parlimen.

Disiarkan pada: May 10, 2018 @ 1:13pm
d