mutakhir

Golongan muda, pengundi luar sokong PAS [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim dan Mohd Zulkifli Zainuddin

GOLONGAN muda dan pengundi luar menjadi faktor kemenangan PAS mengekalkan pentadbirannya di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata mereka didapati sudah mendapat kesedaran tinggi untuk mengundi PAS supaya dasar ‘Membangun Bersama Islam’ dapat diteruskan.

Berikutan itu, beliau yang baharu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan, hari ini, berkata PAS secara rasmi layak membentuk kerajaan selepas memenangi 37 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-14.

“PAS Kelantan mengucapkan setinggi penghargaan kepada seluruh rakyat terutama anak perantauan kerana pulang mengundi PAS.

“Jentera parti tidak ketinggalan kerana bekerja keras memastikan PAS mentadbir Kelantan sekali lagi.

“Dalam PRU-14 kali ini, kita dapati prestasi PAS bertambah baik dengan penambahan empat kerusi berbanding 33 kerusi (termasuk satu kerusi PKR) pada PRU-13. Malah kita memperoleh majoriti lebih 5,000 di enam kerusi DUN Kelantan.

“Ini menunjukkan sokongan rakyat semakin bertambah, sekali gus memberi keyakinan kepada PAS mentadbir Kelantan berdasarkan dasar ‘Membangun Bersama Islam’,” katanya dalam sidang media khas di Pejabat Perhubungan PAS negeri di Kota Bharu, hari ini.

Ditanya mengenai pelantikan ahli mesyuarat kerajaan negeri, Ahmad berkata, beliau sedang menunggu tarikh terbaik dalam masa terdekat daripada Pemangku Raja Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra untuk mendapat keizinan termasuk mengadakan majlis angkat sumpah.

Selain itu, beliau sudah menjangkakan kegagalan gabungan pakatan bagi meraih sebarang kerusi di negeri ini.

“Kita sudah jangka perkara ini memandangkan pendekatan dibawa mereka di negeri ini kurang sesuai berbanding Pantai Barat.

“Rakyat lebih yakin dengan PAS apabila kita mengemukakan pendekatan politik matang dan sejahtera menyebabkan pada penggal kali ini kita mendapat sambutan. Ia akan berterusan sehingga PRU akan datang,” katanya.

Berita berkaitan

'Ahmad angkat sumpah MB Kelantan'

Disiarkan pada: May 10, 2018 @ 2:02pm
d