mutakhir

Azmin selesai menghadap Sultan Selangor

Oleh Faliq Lajim

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Negeri Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selesai menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Kayangan, Shah Alam.

Mohamed Azmin dilihat meninggalkan istana, 1.20 petang.

Mohamed Azmin yang ditemui ketika di perkarangan Istana Kayangan itu memaklumkan kepada pemberita beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi sebentar lagi.

Pertemuan itu difahamkan bagi memohon perkenan Sultan Selangor membentuk kerajaan negeri serta perlantikan Menteri Besar bagi negeri ini.

Sebelum itu, Mohamed Azmin Ali tiba di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, menghadap Sultan Selangor, 11.50 pagi tadi.

Sultan Selangor, dipercayai menerima menghadap Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor sejak 10.30 pagi tadi di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa yang masing-masing dimenangi sejak PRU-12.

Beliau mengekalkan kemenangannya di kerusi Parlimen Gombak dengan mendapat 75,113 undi menewaskan dua calon lain iaitu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahim Pandak Kamarudin, (26,392) dan calon PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin (17,537)

Bagi DUN Bukit Antarabangsa pula, beliau memperoleh 30,892 undi sekali gus mengalahkan calon BN, Salwa Yunus (5,380); calon PAS Sharifah Haslizah Syed Ariffin (2,311), calon PRM, Ahmad Kamarudin (116) dan adiknya sendiri yang juga calon Bebas, Azwan Ali (90).

PRU14 semalam, PH berjaya meraih 51 kerusi DUN, BN memperoleh empat kerusi, manakala PAS hanya mampu mempertahankan satu kerusi iaitu di Sijangkang.

Disiarkan pada: May 10, 2018 @ 2:48pm
d