mutakhir

Ketua Menteri Melaka diputuskan esok

Oleh Mohd Hilmie Hussin

CALON Ketua Menteri Melaka yang baharu dijangka menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, esok bagi mendapat perkenan untuk pelantikan ketua kerajaan negeri itu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Adly Zahari, berkata beliau sendiri akan menghadap Mohd Khalil di Istana Negeri, namun belum menetapkan masa pertemuan.

Katanya, Ketua Menteri baharu yang bakal dilantik akan mengangkat sumpah selewat-lewatnya esok.

“Kita sudah muktamadkan calon Ketua Menteri selepas bermesyuarat dengan ketua komponen PH negeri, jadi kita minta semua pihak bersabar.

“Calon dipilih ini sudah dimuktamadkan dan kita dalam proses menyiapkan dokumentasi, sebelum memaklumkan kepada media massa untuk menghadap Tun (Mohd Khalil),” katanya pada sidang media di pejabat Parti Amanah Negara (PAN) Melaka di Bukit Katil, hari ini.

Adly memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil apabila memperoleh 11,226 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Yunus Hitam dan Muhamat Puhat Bedol dari PAS, masing-masing memperoleh 8,067 dan 2,237 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semalam.

Ketika diminta mengulas mengenai nama calon berkemungkinan dinamakan sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu, Adly yang juga Pengerusi PAN negeri enggan mendedahkannya.

Antara nama disebut-sebut bakal menjadi peneraju baharu negeri ini ialah Adly sendiri, selain penyandang kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya yang juga Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ADUN Bandar Hilir dari PKR, Tey Kok Kiew.

Pada PRU-14, PH Melaka berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah apabila memenangi 15 daripada 28 kerusi DUN.

Disiarkan pada: May 10, 2018 @ 4:12pm
d