mutakhir

Tunai janji hapus GST

Oleh Haika Khazi

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan kerajaan pimpinannya tetap akan menghapuskan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) seperti yang dijanjikan dalam manifesto mereka, sebelum ini.

Dr Mahathir menegaskan pemansuhan GST penting kerana pelaksanaannya jelas membebankan rakyat dan menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan harian.

“Kita akan mansuhkan GST kerana rakyat tidak perlukannya. Oleh itu, kita akan kembali ke SST yang dimansuhkan kerajaan sebelum ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum ini, PH mengumumkan akan menghapuskan GST dalam tempoh 100 hari pertama jika mereka berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sementara itu, Dr Mahathir mengesahkan kerajaan baharu pimpinannya akan mengkaji semula perjanjian perniagaan dibuat dengan negara China termasuk perjanjian berkaitan projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) yang ditandatangani kerajaan Barisan Nasional (BN), sebelum ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, beliau merasakan PH patut mengkaji kembali semua perjanjian terbabit dan jika perlu rundingan semula akan dilaksanakan berhubung perjanjian berkenaan.

“Apa yang merisaukan kami adalah pinjaman dibuat kerajaan sebanyak RM55 bilion hanya untuk ECRL dan pinjaman lain yang akan menjadi bebanan besar kepada negara.

“Sebuah negara yang bertanggungjawab harus cuba untuk mengurangkan pinjaman, atau tidak ia (negara) akan menjadi kambing hitam,” katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2018 @ 4:43pm
d