mutakhir

Istana Pahang pilih MB, Exco

Oleh T N Alagesh

PELANTIKAN jawatan Menteri Besar hanya akan dibuat selepas mendapat perkenan daripada pihak Istana Pahang yang dijangkakan tidak lama lagi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, jawatan Menteri Besar diputuskan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Terpulang kepada pihak istana untuk memilih calon yang difikirkan sesuai untuk menjadi Menteri Besar.

“Begitu juga dengan perlantikan Exco Kerajaan negeri yang akan ditentukan kemudian...selepas pihak istana (terlebih dahulu) memilih Menteri Besar,” katanya ketika ditemui media, di Bentong, hari ini.

Sementara itu, Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berterima kasih kepada pengundi yang memberi mandat kepada BN untuk terus mentadbir negeri ini.

“Terima kasih kepada pengundi yang memilih BN Pahang dan membolehkan kita mendapat majoriti mudah iaitu sebanyak 25 kerusi,” katanya.

Difahamkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri sudah menyembah maklum kepada pihak Istana Pahang mengenai keputusan PRU-14 di negeri ini.

Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang dikatakan sudah menemui pihak Istana Pahang berhubung pelantikan Menteri Besar dan majlis mengangkat sumpah.

Mengulas mengenai kekalahan calon BN di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Panching, Luit, Jengka, Chenor dan Damak, Adnan berkata, ia adalah disebabkan komposisi pengundi di kawasan terbabit.

“Sebelum PRU-14, saya sudah maklumkan kepada calon bagi DUN Panching, Datuk Mohd Zaili Besar dan calon DUN Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail bahawa kerusi mereka sandang itu bukanlah ‘selamat’ dan perlu bekerja lebih keras.

“Saya bukan kata mereka berdua tidak buat program atau tidak turun padang... mereka adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sangat kuat bekerja... cuma, masalah pecahan pengundi di kawasan terbabit yang memberikan sedikit masalah untuk memperoleh undi mencukupi bagi memberikan kemenangan kepada mereka.

“Macam kerusi DUN Luit dan Chenor, itu adalah kerusi ‘selamat’ untuk BN... itulah, mungkin ada masalah yang kita tidak tahu... kita juga sudah cuba untuk mempertahankan kerusi DUN Damak, namun, tidak berjaya,” katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2018 @ 5:31pm
d