mutakhir

PAS Perak nyatakan pendirian petang ini

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim

PAS Perak akan bermesyuarat hari ini bagi memutuskan sama ada sedia untuk bergabung dengan mana-mana parti lain untuk membentuk kerajaan campuran di Perak atau terus bersendirian.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, PAS boleh bekerjasama dengan mana-mana parti asalkan ia menepati syarat.

“Saya sudah berkomunikasi dengan Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang)....insya-Allah kita akan ada satu keputusan lewat petang ini.

“PAS Perak akan membuat keputusan sama ada mahu bergabung dengan mana-mana pihak atau terus kekal sebagai pembangkang.

“Apapun sebarang persetujuan mesti memenuhi syarat ditetapkan pimpinan PAS iaitu mesti utamakan Islam, perjuangan PAS tidak boleh disekat dan mesti diketuai oleh PAS untuk menjamin apa yang mahu dibawa oleh parti kami terlaksana.

“Jika mereka tidak bersetuju dengan syarat itu, PAS rela menjadi pembangkang,” katanya ketika dihubungi NSTP di Ipoh, hari ini.

Beliau ditanya mengenai kemungkinan PAS bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau PKR bagi membentuk kerajaan campuran di Perak berikutan keputusan PRU-14 menyaksikan tiada parti mendapat kemenangan majoriti mudah 30 kerusi daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

BN hanya memenangi 27 kerusi, PKR menang 29 kerusi manakala PAS tiga kerusi.

Pada PRU-13, BN membentuk kerajaan negeri apabila menang di 31 daripada 59 kerusi DUN.

Razman berkata, bagaimanapun setakat ini beliau belum dihubungi sama ada pihak BN mahupun PKR berkaitan kerjasama membentuk kerajaan campuran itu.

Disiarkan pada: May 10, 2018 @ 5:50pm
d