mutakhir

Aminuddin serah watikah pemilihan

Oleh Ifwan Tun Tuah dan Nur Aqidah Azizi

PENGERUSI PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dijangka mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baharu di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah dalam masa terdekat.

Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat berkata, beliau sudah menyerahkan watikah pemilihannya sebagai Menteri Besar kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, hari ini.

“Hari ini, Tuanku Muhriz berkenan untuk bertemu dan berkenalan dengan semua 20 wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di negeri ini, semalam.

“Kami turut berbincang mengenai beberapa isu, masalah serta pembangunan yang akan dibawa di Negeri Sembilan di bawah pentadbiran PH.

“Saya juga menyerahkan surat watikah pemilihan saya sebagai Menteri Besar yang dikeluarkan oleh Presiden PH (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail),” katanya pada sidang media selepas bertemu Tuanku Muhriz di Istana Besar Seri Menanti, hari ini.

Beliau berkata, Tuanku berkenan menetapkan tarikh untuk beliau mengangkat sumpah dalam masa terdekat.

Katanya, mereka belum menetapkan jumlah EXCO dalam kabinet kerajaan negeri yang baharu kerana memberi tumpuan terhadap pelantikan Menteri Besar terlebih dahulu.

Sementara itu, Aminuddin berkata, beliau akan membuat kunjungan ke atas bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan selepas pelantikannya.

“Kita akan buat perjumpaan dengan beliau dalam suasana kekeluargaan selain bertukar-tukar pandangan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penyokong PH supaya bertenang dan tidak melakukan sebarang provokasi terutama berkumpul di kawasan Wisma Negeri kerana mahu peralihan kuasa berlaku dalam suasana tenang.

“Tiba masanya kita akan anjurkan satu sambutan untuk meraikan kemenangan PH di negeri ini,” katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2018 @ 7:06pm
d