mutakhir

Nahas bongkar motosikal curi

Oleh Zuliaty Zulkiffli

MOTOSIKAL Modenas yang dilaporkan hilang sebulan lalu ditemui semula dalam satu kemalangan di Jalan Alor Pudak, Pendang, semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, kemalangan membabitkan motosikal ditunggang seorang lelaki dipercayai terbabas sendiri pada 3.12 pagi.

Beliau berkata, mangsa, Shamsul Abdul Kadir, 47, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar pada 8.05 malam tadi akibat kecederaan parah di kepala, tangan dan luka di kaki.

“Hasil siasatan mendapati mangsa tidak memakai topi keledar ketika kejadian yang menyebabkan kecederaan parah di kepala.

“Bagaimanapun pemeriksaan lanjut mendapati, motosikal ditunggang mangsa adalah motosikal curi yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di Alor Setar, bulan lalu.

“Siasatan masih dijalankan sama ada mangsa berkemungkinan terbeli motosikal itu daripada pihak lain atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Fadzil berkata, mangsa yang menetap di Kampung Tok Temenggung, Mukim Tajar itu tidak bekerja dan didapati tidak mempunyai lesen menunggang motosikal.

Beliau berkata, jenazah mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik HSB untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, setakat ini, polis masih menjalankan siasatan terhadap motosikal terbabit kerana ia bersangkut dengan kes kehilangan di Alor Setar.

Disiarkan pada: May 10, 2018 @ 7:23pm
d