mutakhir

Segerakan peralihan kuasa, elak spekulasi [METROTV]

Oleh Safeek Affendy Razali

PROSES peralihan kuasa kerajaan negara ini perlu dilakukan dengan segera bagi mengelakkan timbul sebarang spekulasi tidak sihat.

Justeru, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun serta Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mengadakan pertemuan dan perbincangan mengenai perkara penting berhubung proses berkenaan.

Mohamad Fuzi berkata, proses peralihan kuasa perlu dilakukan mengikut peraturan dan peruntukan undang-undang.

“Proses (peralihan kuasa) ini wajar dijalankan dengan segera bagi mengelakkan wujudnya sebarang spekulasi tidak benar dan sihat sekali gus boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“Berikutan itu, hasil perbincangan berkenaan akan kami persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat selain menjelaskan situasi semasa kepada Tuanku," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim (kiri) dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga meminta orang ramai supaya bersabar serta tidak membuat sebarang spekulasi tidak benar sepanjang tempoh peralihan kuasa kerajaan berjalan.

“Apa yang ingin saya tegaskan adalah keadaan dan situasi semasa negara pada masa ini berada dalam aman tanpa sebarang kekecohan.

“Selain itu, proses pengundian yang berlangsung semalam juga didapati terkawal meskipun ada beberapa insiden kecil membabitkan penyokong parti bertanding meraikan kemenangan," katanya.

Mohamad Fuzi berkata, dalam insiden yang berlaku di Putrajaya pada awal pagi tadi, pihaknya terpaksa mengambil tindakan dengan menyuraikan penyokong yang berhimpun selepas mereka meraikan kemenangan PRU14 dengan membakar mercun.

Disiarkan pada: May 10, 2018 @ 8:46pm
d