mutakhir

Najis keldai asas bina rumah

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Bahan semula jadi mudah ditemui di persekitaran mereka seperti batang pokok, batu, lumpur dan najis keldai digunakan masyarakat Muslim di Tanzania untuk membina kediaman yang boleh bertahan selama dua tahun.

Pengalaman melihat kedaifan masyarakat Muslim di Tanzania itu dikongsi Ketua Pegawai Pemasaran EZ Qurban Sdn Bhd Ahmad Fadzlullah yang berkesempatan melakukan kunjungan ke negara Afrika Timur itu.

Rombongan EZ Qurban Sdn Bhd yang menjejakkan kaki ke Kondo Village, Kunduchi, Dar Es Salam, Tanzania mendapati, Muslim di negara berkenaan berdepan masalah kemudahan asas seperti kediaman dan bekalan air bersih.

Menurutnya, Muslim di bumi Tanzania tidak ditindas pemerintah, sebaliknya hanya disisihkan daripada segi pembangunan dan bekalan air bersih.

“Sebahagian besar mereka bekerja di lombong dan bertani bagi menyara kehidupan. Purata pendapatan mereka sebulan cuma RM300 hingga RM400,” katanya.

Ahmad berkata, batang pokok ditemui di tepi jalan dijadikan rangka asas manakala campuran lumpur dan najis keldai pula umpana simen digunakan untuk membina dinding rumah.

Menurutnya, selepas kayu mereput akibat terdedah kepada sinaran matahari dan hujan, penduduk membina kediaman baru menggunakan bahan sama.

Beliau berkata, sebahagian besar penduduk Muslim di negara itu yang ditemui mengadu masalah kediaman dan bekalan air bersih.

“Pengalaman tidak dapat saya lupakan ialah ketika dipelawa seorang warga emas berusia 60-an untuk ke rumahnya. Dia menunjukkan keadaan rumahnya yang daif namun tetap bersyukur dengan pemberian daripada Allah SWT,” katanya.

Untuk rekod, rombongan EZ Qurban menyerahkan 103 kambing akikah dan 1,000 kilogram beras fidyah kepada Muslim di perkampungan berkenaan.

Katanya, sempena Ramadan ini, pihaknya merancang menghantar 500 lagi kambing akikah.

“Kami merancang membina perigi di beberapa penempatan agar mereka dapat menikmati bekalan air bersih.

“Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh melayari laman web www.ezqurban.org untuk mendapatkan maklumat,” katanya.

Setakat ini EZ Qurban melebarkan sayap ke-22 negara terpilih bagi menyampaikan amanah seluruh rakyat Malaysia.

Negara itu termasuk Kemboja, Vietnam, Laos, Myanmar, Bangladesh, Thailand, Filipina, India, Indonesia, Sri Lanka, Mali, Chad, Kenya, Malawi, Palestin, Ivory Coast, Nigeria, Somalia, Maghribi dan Arab Saudi.

Disiarkan pada: May 11, 2018 @ 9:13am
d