mutakhir

PAS Terengganu tidak pinggir pelancongan [METROTV]

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin dan Zatul Iffah Zolkiply

“KITA ucap terima kasih atas pandangan diberikan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan kita beri jaminan tidak akan pinggirkan bidang pelancongan seperti permintaan beliau.”

Menteri Besar Terengganu yang baru dilantik, Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi jaminan kerajaan PAS yang mengambil alih tampuk pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN) tidak akan meminggirkan bidang yang mampu menjana pendapatan seperti pelancongan dan pelaburan.

Beliau berkata, pihaknya sedia maklum sumbangan besar diberikan bidang pelancongan terhadap ekonomi negeri yang diusahakan kerajaan BN sebelum ini.

“Sudah tentu (tidak akan pinggirkan), bukan sekadar pelancongan sahaja, malah bidang pelaburan, industri desa, kampung dan perikanan akan dibangunkan demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Kita tidak akan meminggirkan kerana bidang pelancongan di Terengganu boleh dibangunkan sebagai hab pelancongan besar.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita ucapkan terima kasih atas pandangan bekas Menteri Besar yang mengingatkan kita supaya tidak meminggirkan bidang pelancongan, bahkan kita turut mengalu-alukan pandangan lain daripada semua pihak demi kesejahteraan Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Istiadat Perisytiharan Perlantikan Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri Terengganu di Istana Syarqiyyah di Kuala Terengganu, malam tadi.

Beliau mengulas pesanan Ahmad Razif supaya kepemimpinan baharu kerajaan Terengganu tidak meminggirkan bidang pelancongan.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan berlaku rombakan dalam pentadbiran agensi kerajaan negeri, Dr Ahmad Samsuri berkata, perkara itu akan dilihat untuk penambahbaikan apabila beliau bersama barisan Exco yang lain memulakan tugas pada Isnin ini.

“Bagaimanapun, apabila ada penambahbaikan, mungkin ada beberapa rombakan perlu, tapi kita tidak akan menganiaya mana-mana pihak,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang.

Mengulas mengenai portfolio Exco pula, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dan pihaknya akan melihat sekiranya ada keperluan untuk menambah portfolio baharu, selain perancangan untuk melaksanakan manifesto dijanjikan kepada rakyat.

“Insya-Allah, minggu depan akan ada mesyuarat Exco yang pertama.

“Bagi kaum bukan Islam, mereka tidak perlu risau walaupun tidak mempunyai wakil di DUN kerana kita akan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan semua rakyat negeri ini mendapat manfaat sama dan tidak terpinggir.

“Kita akan bincang dan adakan pertemuan dan melakukan penambahbaikan dengan melantik kaum tertentu sebagai wakil mereka dalam DUN sekiranya perlu demi kesejahteraan semua,” katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2018 @ 11:59am
d