mutakhir

Pelantikan MB Negeri Sembilan esok

Oleh Nur Aqidah Azizi

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dijangka mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, esok.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan, Istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan Menteri Besar itu akan diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada 10 pagi.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu menyerahkan watikah pemilihan sebagai Menteri Besar kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pada sidang media selepas pertemuan itu, Aminuddin berkata, terdahulu Tuanku berkenan untuk bertemu dengan semua wakil rakyat PH yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Dalam pertemuan itu, kami turut berbincang mengenai beberapa isu, masalah serta pembangunan yang akan dibawa di Negeri Sembilan,” katanya.

PH membentuk kerajaan baharu di Negeri Sembilan dengan majoriti mudah selepas menang 20 daripada 36 kerusi DUN pada PRU-14.

Selain itu, PH turut menang lima daripada lapan kerusi Parlimen di negeri ini.

Disiarkan pada: May 11, 2018 @ 1:45pm
d