mutakhir

'Jangan gelar Tony Fernandes pengkhianat' - Syed Saddiq

Oleh Hazwan Faisal Mohamad

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata ahli perniagaan kini bebas menyokong mana-mana parti politik tanpa perlu berasa takut akan dianiaya.

Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) itu berkata, pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baharu dibentuk adalah permulaan era di mana hak rakyat dan ahli perniagaan untuk mengkritik kerajaan secara terbuka adalah dijamin.

Ini kerana, beliau berkata, aktivis, ahli politik dan ahli perniagaan yang tidak memihak dengan parti yang membentuk kerajaan sebelum ini diasak dan dikenakan tekanan.

“(Kini) Anda juga boleh menyokong parti pembangkang secara terbuka tanpa perlu rasa takut akan dianiaya. Kami mahukan pembangkang yang kuat,” katanya menerusi Facebook sambil mengakui sudah agak lama memendam perkara itu.

Menerusi kiriman itu, Syed Saddiq tampil memberi pencerahan berdasarkan pengetahuannya sendiri mengenai Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yang dilabel netizen sebagai pengkhianat kerana menyatakan sokongan terbuka kepada kerajaan sebelum ini.

Katanya, Tony telah ditekan untuk menyatakan sokongan terbuka termasuk menzahirkannya menerusi rakaman video.

“Gambaran mengenai apa yang berlaku secara keseluruhannya telah diambil tanpa mengikut konteks yang sebenar.

“(Jadi) tolong rakyat Malaysia, jangan menggelar beliau (Tony) sebagai pengkhianat,” kata Syed Saddiq menerusi Facebook.

Menurut Syed Saddiq, Tony adalah antara orang pertama yang datang membantu (Presiden PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin. AirAsia juga menawarkan diskaun tiket kapal terbang dan menambah bilangan pesawat sewaktu tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Langkah Tony itu turut disanjung Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang memuat naik poster terima kasih kerana ia membolehkan lebih ramai penyokong parti itu pulang mengundi di kampung halaman mereka.

Syed Saddiq berkata, Tony dikatakan terus ditekan apabila enggan memecat Tan Sri Rafidah Aziz (Pengerusi Bukan Eksekutif AirAsia X) selepas bekas menteri itu secara terbuka berkempen untuk parti pembangkang ketika itu.

Disiarkan pada: May 11, 2018 @ 9:29pm
d