mutakhir

Empat muka baharu Exco Selangor...?

Oleh Haika Khazi dan Safeek Affendy

SEKURANG-KURANGNYA empat muka baharu bakal mengangkat sumpah sebagai Exco kerajaan negeri Selangor pada Isnin ini.

Pelantikan mereka bagi menggantikan tiga wakil PAS yang tidak lagi bersama kerajaan Pakatan Harapan (PH), manakala seorang lagi ialah pengganti Nik Nazmi Nik Ahmad yang kini Ahli Parlimen Setiawangsa.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya akan memuktamadkan senarai 10 nama Exco yang bakal dipersembahkan kepada Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah pada Ahad ini untuk memohon perkenan baginda.

“Hari ini saya sudah mengadakan perbincangan dengan wakil Parti Amanah Negara (PAN), manakala esok kita cadang mengadakan pertemuan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP bagi memuktamadkan senarai nama Exco baharu Selangor.

“Jika semuanya berjalan lancar, saya akan mengadap Sultan Selangor untuk mempersembahkan senarai nama 10 Exco Selangor termasuk empat muka baharu yang diagihkan secara adil dalam kalangan parti komponen PH.

“Andainya mendapat perkenan Sultan Selangor, maka majlis angkat sumpah semua 10 Exco akan diadakan pada 2 petang Isnin ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di wad Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Turut kelihatan ialah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden PKR iaitu Rafizi Ramli dan R Sivarasa serta Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin.

Disiarkan pada: May 11, 2018 @ 11:41pm
d