mutakhir

Cat jadi abu

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Serdang: Kebakaran sebuah kontena yang dijadikan bengkel cat kereta di Taman Rasa Sayang Batu 9, Cheras di sini, semalam, turut menyebabkan sebuah kereta dan motosikal hangus.

Kejadian jam 6 pagi itu memusnahkan sebuah kereta Perodua Kancil dan motosikal yang diletakkan di kawasan berkenaan.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 6.07 pagi.

“Seramai 24 pegawai dan anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang, BBP Kajang dan BBP Pandan Indah dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di lokasi, kami mendapati api marak sebelum berjaya dikawal sepenuhnya satu jam kemudian,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Alimaddia berkata, kebakaran itu menyebabkan kenderaan terbabit musnah.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan lanjut,” katanya memaklumkan tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu.

Disiarkan pada: May 12, 2018 @ 3:20am
d